KUALA LUMPUR 21 Feb - Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) hari ini melancarkan kad kredit maya pertama di Malaysia, Visa Platinum Alliance Bank, untuk kegunaan individu yang ditawarkan melalui aplikasi gaya hidup pengguna.
Buat masa ini, kad kredit maya ini membolehkan pelanggan membuat pembayaran JomPAY dan kod QR serta mengakses perkhidmatan pendahuluan tunai melalui aplikasi mudah alih MCash tanpa memerlukan kad kredit fizikal.
Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank, Gan Pai Li berkata, seiring dengan cadangan nilai 'Bank Dalam Poket Anda', kad kredit maya tersebut merupakan penawaran terkini dalam rangkaian inovasi digital mereka untuk memberikan perkhidmatan pantas, mudah, responsif serta mesra alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Kami ingin pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan pendahuluan tunai secara selamat pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja menerusi telefon bimbit mereka. Tidak lama lagi kami akan meningkatkan ciri-ciri kad untuk membolehkan transaksi e-dagang, perkhidmatan penstriman dan langganan bagi memenuhi keperluan gaya hidup para pelanggan.
"“Kami teruja dengan MCash eWallet yang turut berkongsi visi ‘Bank Dalam Poket Anda’ dan telah bersetuju untuk bekerjasama dengan kami dalam menyediakan pengalaman bayaran secara digital yang lancar kepada para pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif MCash eWallet, Aaron Lee pula berkata, kerjasama teknologi kewangan memperkasakan MCash sebagai pengendali dompet digital mesra alam pertama di Malaysia yang memperkenalkan kad kredit maya kepada para pelanggan daripada Gen-Z.
"Selain melindungi seramai 500,000 orang pengguna dan 20,000 peniaga kami yang sedia ada, kelancaran dalam mengakses kemudahan kredit digital akan turut menggalakkan 1,500 usahawan mikro MCash kami untuk mengembangkan perniagaan mereka menerusi penggunaan perkhidmatan mesra ESG ini," katanya.
Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Alliance Bank kerana menjadi antara peneraju dalam pasaran kad kredit maya di Malaysia.
Jelasnya, sebagai peneraju global dalam pembayaran digital, Visa berusaha menyediakan penyelesaian inovatif yang memenuhi keperluan pembayaran pengguna yang sentiasa berubah serta pilihan dan tingkah laku mereka kerap bertukar.
"Apabila ia datang kepada kad maya, hampir 69% pengguna Malaysia berminat untuk menggunakan kad maya dalam pembelian dan transaksi kewangan harian mereka.
"Kerjasama kami dengan Alliance Bank merupakan satu lagi langkah penting dalam mendigitalkan landskap pembayaran dan menyediakan penyelesaian pembayaran yang pantas, mudah, selamat dan inovatif untuk para pelanggan kami di Malaysia," katanya.
Pelanggan boleh memohon kad kredit maya Visa Platinum Alliance Bank melalui aplikasi mudah alih MCash yang terdapat di Google Play dan Apple App Store.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kad kredit maya Visa Platinum Alliance Bank atau produk dan perkhidmatan bank, sila layari https://www.alliancebank.com.my/cards/personal/credit-cards/virtual-platinum-credit-card.aspx. - DagangNews.com