Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara pertama Malaysia dilancar | DagangNews Skip to main content

Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara pertama Malaysia dilancar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

CYBERJAYA 28 Mac - Futurise Sdn Bhd (Futurise) mengumumkan pelancaran Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (AKSADRON) yang pertama di Malaysia bertempat di Kuantan, Pahang.

 

AKSADRON akan menjadi hab untuk perlumbaan dan aktiviti dron berprestasi tinggi, selain merupakan zon sukan dron pertama di negara ini dengan menampilkan trek perlumbaan bagi menganjurkan acara sukan tersebut di peringkat antarabangsa. 

 

Akademi itu juga akan mempelopori program pembangunan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) untuk memupuk lebih ramai rakyat Malaysia menyertai industri tersebut yang sedang berkembang.

 

Pelancaran akademi dilaksanakan sempena majlis pecah tanah oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah dengan dihadiri ramai peserta industri daripada sektor swasta dan awam dengan mendapat sokongan kuat daripada komuniti dron. 

 

Beliau berkata, pelancaran AKSADRON merupakan langkah penting ke arah memenuhi aspirasi negara untuk menjadi pemain utama dalam industri dron global dan hab dron rantau ASEAN.

 

“Dengan AKSADRON, kita akan dapat melihat lebih ramai rakyat Malaysia berbakat dihasilkan bagi memenuhi permintaan industri dron yang semakin berkembang di negara ini dan seluruh dunia. Ia juga akan menjadi pemangkin untuk merangsang dan melahirkan belia mahir dalam sukan tersebut.

 

"Sebagai zon sukan dron pertama di negara ini, AKSADRON akan membantu membuka pintu kepada bakat-bakat di Pahang dan seluruh Pantai Timur, mewujudkan pelbagai aktiviti ekonomi dan memastikan pertumbuhan inklusif dan pembangunan saksama untuk semua,” tambahnya.

 

 

dron

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Rosihan Zain pula berkata, sektor dron kini sedang mengalami perkembangan pesat di seluruh dunia dan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang tersebut.

 

“Teknologi dron mempunyai banyak potensi menarik untuk dikembangkan dalam pelbagai sektor, daripada pertanian kepada pertahanan yang telah terbukti mampu menjadi faktor pengubah dalam transformasi industri. AKSADRON juga akan menonjolkan bakat rakyat Malaysia dengan kepakaran UAV peringkat tinggi yang diperlukan melalui pelbagai program latihan yang akan diadakan.  

 

 

dron

 

 

 

dron

 

 

"Akademi ini akan menjadi sebagai tempat rekreasi dan juga pusat penciptaan inovasi dengan memupuk sukan perlumbaan dron sambil melahirkan bakat baharu yang sangat mahir untuk kegunaan pelbagai sektor,” katanya.

 

AKSADRON akan menampilkan trek perlumbaan dron diiktiraf antarabangsa dengan ruang untuk pengawal dron (pilot pit), tempat penonton dan menara kawalan.

 

 

dron
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Datuk Faizal Jaafar; Rosihan Zain; Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview, Datuk Najib Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat.

 

 

Ia akan menjadi pusat sehenti cemerlang untuk peminat sukan dan juga pakar teknikal dron dengan kemudahan lengkap termasuk bilik darjah, bengkel, simulator penerbangan, ruang kerja dan penginapan.

 

 

dron

 

 

Tapak untuk pusat seluas kira-kira 3.15 ekar tersebut terletak di Tasik Paya Bungor, Paya Besar, Kuantan dan dikelilingi oleh kawasan lapang yang sesuai untuk aktiviti penerbangan dron berprestasi tinggi. AKSADRON dijangka dibuka kepada umum sebelum akhir tahun. - DagangNews.com