6 isu wajar diberi perhatian dalam pelaksanaan perbankan Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 5 April 2022

6 isu wajar diberi perhatian dalam pelaksanaan perbankan Islam

 

 

SEPANJANG pengalaman penulis, terdapat 6 isu besar yang mengganggu-gugat kestabilan pelaksanaan aktiviti perbankan Islam dalam sistem kewangan negara. 

 

Para pegamal perbankan harus memantapkan pertahanan mereka untuk mengelak ia daripada berlaku. Sekiranya ia berlaku juga, institusi perbankan akan melanggar dokumen polisi tadbir urus syariah yang telah digariskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Ini adalah 6 isu tersebut :

 

 

PERTAMA

 

  • Berkaitan dengan pengharaman riba, gharar dan maysir termasuklah isu ketidakadilan antara pihak bank dan pelanggan. 

 

  • Untuk mengelak isu riba, gharar dan maysir dipraktikan, penulis menyeru supaya dokumen atau perjanjian yang dibuat haruslah menepati kontrak-kontrak syariah yang dipilih oleh bank dalam produk dan perkhidmatan mereka. 

 

  • Perjanjian yang dibuat mestilah difahami dan diterangkan kepada para pelanggan sebelum mereka menandatangani perjanjian tersebut. Persetujuan dan pilihan perlu diberikan kepada pelanggan setiap masa.

 

 

KEDUA

 

  • Pemerhatian sama ada syarat-syarat perjanjian yang akan dipersetujui adalah ‘bersyarat’, peletakan sesuatu terma yang menyekat ketetapan undang-undang dalam kontrak dan juga apa-apa sahaja klausa yang melengah-lengahkan kebolehkuatkuasaan kontrak wajib diberikan perhatian. Perkara sebegini mungkin akan membatalkan perjanjian yang dipersetujui.

 

 

KETIGA

 

  • Isu hiyal atau 'legalistic tricks' dalam perundangan Islam. Sebenarnya tujuan utama ḥiyal adalah untuk mengelakkan pematuhan hukum Islam secara terus-menerus dalam situasi yang sukar tetapi ia tetap mematuhi undang-undang, seperti pengaplikasian Bay Al-Inah dan juga penggunaan platform tawarruq sekarang. Sentiasa lah merujuk kepada Komiti Syariah bank dalam pengurusan isu hiyal ini.

 

 

KEEMPAT

 

  • Isu keempat berkaitan dengan urusan pembikinan produk baharu yang menggunakan beberapa kontrak syariah sekali gus dalam struktur produk tersebut. 

 

  • Ada ketika penggabugan kontrak dibenarkan seperti musyarakah dan wakalah. Ada juga ketika penggabungan kontrak yang tidak dibenarkan seperti qard dan rahn.

 

 

KELIMA

 

  • Berkaitan dengan proses dan urutan seperti pemindahan hak milik, hak dan tanggungjawab sebagai pemilik. Pemilik mesti memiliki aset sebelum beliau boleh menjualkannya kepada pembeli. 

 

  • Malah, sebagai penjual, pemilik wajib memastikan aset yang hendak dijual dapat dihantar kepada bakal pembeli tanpa keraguan. 

 

 

KEENAM

 

  • Yang terakhir, isu keenam pula berkisar tentang menguruskan kemungkiran (default) dan penamatan kontrak. 

 

  • Apabila pelanggan mungkir janji untuk membayar bayaran bulanan kepada bank, maka, pihak bank perlulah mematuhi prosedur yang telah ditetapkan oleh polisi dan prosedur (P&P) bank. P&P ini seharusnya telah diluluskan oleh jawatankuasa syariah bank tersebut. 

 

  • Selain daripada klausa-klausa yang dipersetujui dalam perjanjian, pihak bank juga tidak boleh sewenang-wenangnya menamatkan kontrak yang dipersetujui dengan pelanggan tanpa memberi notis atau berbincang dengan pelanggan mereka. 

 

 

Oleh itu, penulis menyeru para pengamal perbankan Islam supaya dapat meneliti keenam-enam isu syariah ini dan memastikan ia diambil kira dalam senarai semak juruaudit dan para pegawai penyemak yang dilantik oleh bank sepertimana yang digariskan oleh BNM. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm
 

Portfolio Tags