Skip to main content

15 contoh orang anggap awak tak penting

 

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM
 

SEORANG kawan bertanya apakah saya terima mesej WhatsApp mengenai kematian seorang kenalan. Terkesima beberapa saat dibuatnya. Tidak ada! Patutlah tak nampak awak di surau tadi, katanya lagi. Terkesima dua kali.

Tidak mengapa kawan. Mungkin sahabat terlupa. Mana hendak perasan, kata saya. Dalam hati terdetik, kenapa tidak letak pemakluman di dalam grup? Atau apakah saya terlepas pandang?

Tetapi yang nyata, saya yang `tidak dipandang’. Biasa jumpa petang-petang bersembang sambil tek tarik, dan bila tidak kelihatan, akan dipanggil bertalu-talu ajak datang. Tiba-tiba bab kematian boleh pula `terlepas’?

Jangan keliru, saya tidak mengatakan saya penting. Setulus hati saya sekadar kaki merrepak, tidak penting sama sekali. Tidak marah pun. Saya terimanya dengan hati terbuka. Malah, insiden itu saya jadikan bahan merrepak hari ini. Jadi jika terkena pada anda, janganlah marah jika orang tidak kenal atau ingat anda.

Seeloknya, detik seumpamanya harus diambil sebagai titik keinsafan. Anda bukan artis atau ahli politik yang sering keluar televisyen atau Facebook.

Janganlah marah-marah dengan suara tinggi, AWAK TIDAK KENAL SAYA? Sudah memang tidak kenal, bagaimana hendak menjawab? Lagi dijawab tidak, lagi nak mengamuk? Tak faham mentaliti orang macam ini. Ego tahap Everest.

Ini termasuk kebiasaan baharu era COVID-19 ini. Semua kita patut tahu sekarang, di mana sahaja tempat, kedai atau warung akan meminta anda memakai pelitup muka. Memang leceh bila tertinggal sebab dilarang masuk pula oleh pengawal keselamatan.

Salah siapa sebenarnya? Pengawal yang ikut arahan SOP atau awak yang cuai? Buat video tular pun belum jamin tindakan anda memaki hamun pengawal akan menerima sokongan.

Lagi tiada kelas bila awak keluarkan satu lagi video menghina pekerjaan pengawal keselamatan berbanding pendapatan anda yang berpuluh ribu. Anda mungkin berduit tetapi tanpa budi bahasa, tiada ertinya menjerit pekik mendakwa diri anda kaya-raya di dunia yang hanya sementara ini.

Percayalah ini saya nyatakan lagi orang tidak kenal, lagi menyenangkan hidup melainkan jika anda hendak melobi projek.

Halimunan

Jika anda aman damai dengan status "halimunan", anda boleh ke pasar tanpa risau ada orang mengambil curi gambar anda untuk disiar di Facebook. Atas sebab itu sukar hendak terserempak selebriti di pasar. Yang dilihat naik LRT itu, hanya untuk publisiti semata-mata.

Dalam sesetengah situasi, ada masanya anda tidak boleh halimunan dan mahu dilayan adil seperti orang lain. Tetapi hendak buat bagaimana jika ia berlaku juga.

Mungkin anda pernah hadapi situasi yang menyedarkan anda bahawa anda tidak penting kepada sesiapa seperti berikut:

1. Dalam padang futsal, ada 11 orang hadir tetapi peraturan permainan menetapkan lima sebelah. Anda jadi orang kesebelas, bermakna kena duduk luar sehingga seseorang cedera atau semput.

agoda

2. Anda mendapat jemputan menyertai kumpulan memancing beberapa jam sebelum bertolak dan kemudian baharu anda tahu, ia disebabkan seorang lagi telah menarik diri dan anda diperlukan bagi mencukupkan bayaran sewa bot.

 

3. Mak ayah berbincang dengan keluarga tapi "terlupa" hendak pelawa anda. Walhal anda anak sulung dan berkaitan majlis pertunangan anda.

 

4. Majikan anda membuat keputusan setelah mendapatkan input daripada semua unit dalam syarikat, kecuali unit anda. Dan ia berkaitan bajet tahunan.

 

5. Bila ada jiran meninggal, anda antara yang paling pantas ucapkan takziah. Bila keluarga anda meninggal, baru anda sedar cepat hantar takziah memang ramai tetapi sangat kurang datang berziarah.

 

6. Pasukan pemasaran meraikan kejayaan mencatat jualan RM1 juta tetapi anda tidak dijemput ke parti walaupun selama ini, andalah yang meluangkan masa dari kerja azali anda untuk mengikut pegawai membuat aktiviti pemasaran dan merayu pelanggan.

 

7. Anda sudah beratur sejam di kaunter dan giliran anda seterusnya, tiba-tiba datang seorang lelaki yang menyapa mesra petugas di kaunter, terus diterima borang yang dihulurkannya tanpa susah-payah beratur.

 

8. Rakan sekerja anda sibuk dengan kerja bukan azali menyebabkan anda dibebani kerja dia. Bila dikomplen kepada penyelia, tiada apa-apa tindakan. Sebaliknya anda pula dilabel sebagai pekerja yang sukar bekerja berpasukan.

 

9. Anda mahu mengurangkan pakej dalam Astro kerana jarang menonton tetapi bila ditelefon, pusat perkhidmatan pelanggannya tiada dalam perkhidmatan iaitu tidak menjawab pun panggilan anda.

astro

10. Meletakkan kupon meletak kereta pada dashboard seperti yang lazim tetapi tetap disaman atendan MBSA atas alasan "tidak
mempamerkan dengan jelas". Terpaksalah membayar denda RM10 dan bila dikomplen, disuruh naik ke Tingkat 21 pula.

 

11. Jiran buat kenduri pasang sampai 10 khemah menutup keseluruhan jalan. Anda langsung tidak diberitahu dan kereta anda tersekat dalam rumah selama dua hari sehingga kerusi meja diangkat kontraktor khemah.

 

12. Anda aktif dalam persatuan penduduk dengan mempelopori inisiatif mengadakan pengawal keselamatan, mengadakan majlis ramah-tamah untuk eratkan silaturahim penduduk tetapi bila anda jatuh sakit, seorang jiran pun tidak bertanya khabar atau menziarah.

 

13. Anda tidak pernah ketinggalan mengutus ucapan Selamat Hari Jadi kepada teman-teman sama ada menerusi Facebook, Instagram atau WhatsApp. Bila tiba hari jadi anda, tiada siapa mengutus anda apa-apa.

 

14. Sahabat yang anda kenali rupa-rupanya telah unfriend anda dalam Facebook. Mungkin dia tidak senang dengan anda yang asyik tekan butang Like tetapi tidak pernah memberi apa-apa komen.

 

15. Berkaraoke dengan teman-teman, bila tiba giliran anda menyanyi, semua pakat ke tandas atau ambil makanan meninggalkan anda seorang diri dengan mikrofon.

ka

Anda ada situasi tersendiri yang mengisafkan diri bahawa anda memang tidak dianggap penting oleh rakan sepejabat, sahabat handai atau keluarga anda? Sila buat senarai anda. DagangNews.com

 

Merrepak adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaannya seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mengambil nikotin pada kadar berganda. Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com. Untuk sebarang cadangan topik untuk bahan Merrepak, sila emel johardy@dagangnews.com