Zetrix AI fail semakan kehakiman terhadap teguran awam Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zetrix AI fail semakan kehakiman terhadap teguran awam Bursa Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Julai – Zetrix AI Bhd akan memfailkan semakan kehakiman terhadap teguran awam yang dikenakan oleh Bursa Malaysia berhubung pelanggaran keperluan penyenaraian, menurut syarikat itu dalam maklumannya kepada Bursa.

 

Syarikat itu sebelum ini dikenali sebagai MyEG Services Bhd.

 

Zetrix AI yang tersenarai di Pasaran Utama itu bersama tujuh ahli lembaga pengarahnya telah dikenakan tindakan disiplin oleh Bursa Malaysia kerana gagal memastikan beberapa pengumuman yang dibuat adalah tepat, benar dan tidak mengelirukan.

 

Zetrix AI turut didapati melanggar arahan Bursa Malaysia Securities bertarikh 15 Ogos 2023 apabila gagal mengeluarkan penjelasan segera terhadap pengumuman terdahulu yang dibuat pada 7 Julai 2023. 

 

Penjelasan itu sepatutnya dikemukakan selewat-lewatnya pada 16 Ogos 2023.

 

ARTIKEL BERKAITAN Zetrix AI Berhad bersama 7 pengarah didenda Bursa Malaysia RM150,000 setiap seorang kerana kenyataan mengelirukan

 

Antara ahli lembaga yang dikenakan denda RM150,000 setiap seorang ialah Pengarah Urusan Wong Thean Soon, Pengerusi Eksekutif Datuk Norraesah Mohamad serta lima pengarah lain: Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah, Wong Kok Chau, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, Datuk Mohd Jeffrey Joakim, dan Mohaini Mohd Yusof.

 

Syarikat itu memaklumkan, pihaknya akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan isu tersebut.

 

Berikutan pengumuman itu, dagangan saham Zetrix AI digantung sementara dari jam 9 pagi hingga 10 pagi hari ini. 

 

Saham terakhir didagangkan pada harga 98.5 sen sesaham semalam. - DagangNews.com