KUALA LUMPUR 15 Dis – Urusharta Jamaah Sdn Bhd, syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan kini muncul sebagai pemegang saham utama Ramssol Group Bhd selepas memperoleh pegangan sebanyak 5.09% dalam syarikat penyedia rumusan teknologi itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ramssol memaklumkan Urusharta Jamaah, melalui pengurus dana luarannya Amundi membeli 1 juta saham Ramssol pada 9 Disember 2025.
“Pemerolehan itu meningkatkan pegangan tidak langsung Urusharta Jamaah kepada 7.19 juta saham atau bersamaan 1.84%.
“Digabungkan dengan pegangan langsung sebanyak 12.66 juta saham atau 3.24%, jumlah keseluruhan pegangan Urusharta Jamaah dalam Ramssol kini berjumlah 19.86 juta saham yang mewakili 5.09% kepentingan ekuiti,” kata Ramssol dalam makluman tersebut.
Selain Urusharta Jamaah, pemegang saham utama lain Ramssol ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng yang memegang 20.92% kepentingan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Liew Yu Hoe pula memiliki 5.32% pegangan manakala Pengerusi Eksekutif Top Glove Corp Bhd, Tan Sri Lim Wee Chai memegang 4.95% saham Ramssol.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelantikan ejen kutipan JPJ kukuhkan platform motosikal terpakai Ramssol, menurut Maybank IB
Pada 8 Disember 2025, Ramssol mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Rider Gate Sdn Bhd dilantik oleh Kementerian Pengangkutan sebagai ejen kutipan yang diberi kuasa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan bagi urusan pertukaran hak milik kenderaan bermotor, pembaharuan lesen memandu serta pembayaran saman trafik.
Pelantikan itu adalah bagi tempoh dua tahun bermula daripada tarikh perkhidmatan JPJ dilaksanakan di platform aplikasi Rider Gate.
Sebelum ini, pada Oktober, Ramssol turut memaklumkan pelantikannya sebagai pengedar perkhidmatan awan Tencent Cloud di rantau Asia Tenggara.
Melalui unit milik penuhnya, RAMS PeopleTech Sdn Bhd, Ramssol akan menyelia pengedaran perkhidmatan tersebut di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, Ramssol mencatatkan keuntungan bersih tertinggi setakat ini sebanyak RM7.45 juta, meningkat 71% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan bagi suku tersebut turut merekodkan paras tertinggi sebanyak RM29.35 juta, meningkat 50.78% tahun ke tahun.
Prestasi yang lebih kukuh itu disumbangkan oleh peningkatan permintaan terhadap pembangunan perisian kecerdasan buatan serta projek pendigitalan IoT di Malaysia dan Thailand, selain jualan lebih tinggi penyelesaian pengurusan modal insan dan awan AI di Indonesia serta Thailand.
Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih Ramssol meningkat 47.6% kepada RM19.01 juta berbanding RM12.89 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan naik 41.4% kepada RM72.39 juta daripada RM51.19 juta. - DagangNews.com








