KUALA LUMPUR 28 Julai – Tenaga Nasional Bhd (TNB) berisiko berdepan notis penilaian cukai tambahan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun kewangan 2023 dan 2024, kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, ia susulan notis penilaian tambahan yang telah dikenakan ke atas TNB bagi tahun taksiran 2013 hingga 2021, termasuk penalti berjumlah RM5.89 bilion.
“Berdasarkan perbelanjaan modal TNB untuk tempoh 2023–2024, jumlah penilaian tambahan yang berpotensi boleh mencecah sekitar RM2 bilion.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan bagi tempoh 2013 hingga 2024 hampir RM8 bilion,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
CIMB berkata, sekiranya TNB perlu membayar sepenuhnya jumlah cukai tambahan tersebut, harga saham syarikat yang kini disasarkan pada RM15.75 berpotensi jatuh antara 8 hingga 9 %.
“Bagaimanapun, TNB telah mengemukakan permohonan baharu bagi Elaun Pelaburan di bawah Jadual 7B Akta Cukai Pendapatan 1967 pada 25 Julai lalu.
“Sekiranya permohonan ini diluluskan, kesan kewangan terhadap syarikat berkemungkinan dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN TNB kena lagi cukai tambahan LHDN sebanyak RM840 juta bagi Tahun Taksiran 2022, timbang opsyen perundangan
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan telah menolak tuntutan serupa yang dikemukakan TNB bagi tahun taksiran 2018.
Buat masa ini, firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham TNB dengan harga sasaran RM15.75 sementara menantikan keputusan rayuan syarikat kepada Kementerian Kewangan.
CIMB menjelaskan saham TNB masih dinilai pada tahap munasabah dan dijangka terus menawarkan pulangan dividen yang stabil dalam tempoh beberapa tahun akan datang.- DagangNews.com








