Tan Sri Mohd Khairul Adib dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif NexG mulai 28 Mac 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tan Sri Mohd Khairul Adib dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif NexG mulai 28 Mac 2025

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mac - Selepas muncul sebagai pemegang saham utama, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif NexG Bhd berkuat kuasa 28 Mac 2025.

 

Beliau mengakui sangat teruja untuk menyertai kumpulan itu kerana NexG berperanan penting dalam menyokong selain memacu inisiatif nasional utama seperti MyDigital ID dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital.  

 

"Saya percaya pengalaman saya dalam sektor awam serta penglibatan dalam inisiatif pembangunan negara akan memberi nilai tambah kepada pelan transformasi NexG.  

 

"Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Hanifah Noordin, serta seluruh pasukan NexG untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan kumpulan di pasaran domestik dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.

 

Khairul Adib membawa pengalaman luas dalam tadbir urus dan kepimpinan merentas sektor awam dan swasta. 

 

Beliau kini merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Westports Holdings Berhad dan sebelum ini pernah menganggotai Lembaga Pengarah Malaysia Airports Holdings Berhad serta MMAG Holdings Berhad, di mana beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman muncul pemegang saham utama baharu NexG

 

Beliau juga telah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif NexG pada 22 November 2024.

 

Sementara itu, Hanifah berkata, sejak dilantik Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Mohd Khairul Adib telah membawa pandangan dan kepakaran yang amat bernilai kepada lembaga pengarah dan keputusan beliau untuk menjadi pemegang saham utama NexG mencerminkan keyakinannya terhadap visi dan strategi syarikat.  

 

"Sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif, kepimpinan Tan Sri Mohd Khairul Adib akan menjadi pemacu utama dalam pelan transformasi NexG untuk muncul sebagai peneraju dalam pasaran identiti fizikal dan digital, sekali gus menyumbang kepada transformasi digital negara. Kami teruja untuk bekerjasama merealisasikan visi ini," katanya.

 

Sepanjang 34 tahun dalam Perkhidmatan Awam Malaysia, Mohd Khairul Adib pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dari 1 Oktober 2019 hingga 16 Januari 2022. 

 

Sebelum itu, beliau merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT) dan pernah berkhidmat di beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar serta Kementerian Pendidikan. 

 

Selain itu, beliau juga pernah menganggotai Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan MAVCOM. - DagangNews.com