KUALA LUMPUR 12 Dis – Projek landasan berkembar elektrik sepanjang 192 km Gemas-Johor Bahru memulakan operasinya secara rasmi selepas diserahkan kepada kerajaan oleh syarikat usahasama antara SIPP Rail Sdn Bhd dan anak syarikat pembinaan YTL Corp Bhd, YTL Construction (SIPP-YTL JV).
SIPP-YTL JV bertindak sebagai kontraktor sub tempatan utama untuk projek kereta api bernilai RM8.9 bilion itu yang memulakan pembinaan fizikalnya pada 1 Disember 2016.
Projek milik Kementerian Pengangkutan itumelibatkan pembinaan 11 stesen baharu di sepanjang koridor Johor, selain jambatan, depot, sistem rel dan infrastruktur sokongan lain.
SIPP-YTL JV dalam satu kenyataan memaklumkan, projek ini adalah satu rangkaian perkhidmatan kereta api elektrik berterusan dari Padang Besar, Perlis di utara, sehingga Johor di selatan Semenanjung dengan kelajuan operasi sehingga 140 km/j.
“Masa perjalanan antara KL Sentral dan JB Sentral dijangka berkurangan kepada kira-kira empat jam 20 minit berbanding tujuh jam menggunakan perkhidmatan diesel sedia ada,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Majlis pelancaran ETS3 itu disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Stesen Kempas Baru, semalam.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
ARTIKEL BERKAITAN: Perkhidmatan ETS3 KL-JB dilancarkan, jimat masa perjalanan sehala kurang 5 jam
Pengarah Urusan SIPP-YTL JV, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata, projek ini memerlukan tahap ketepatan kejuruteraan yang tinggi.
“Dari landasan dan jambatan ke stesen, depot dan sistem sokongan, setiap komponen dibina mengikut piawaian bertaraf dunia bagi memastikan prestasi dan kecekapan optimum,” katanya.
Kerja-kerja landasan berkembar elektrik menamatkan usaha bertahun-tahun untuk meluaskan perkhidmatan kereta api laju ke bahagian selatan.
Sebelum ini, ETS hanya beroperasi dari Padang Besar, Perlis sehingga Gemas, Negeri Sembilan, dengan sektor selatan bergantung kepada kereta api diesel yang lebih perlahan.
Tahun ini, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) secara berperingkat telah meluaskan operasi ETS ke Johor, bermula ke Segamat pada bulan Mac, diikuti perkhidmatan ETS3 arah selatan ke Kluang pada bulan Ogos. - DagangNews.com








