Pusat data sumbang 45% buku pesanan SunCon RM6.7 bilion, prospek terus cerah - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pusat data sumbang 45% buku pesanan SunCon RM6.7 bilion, prospek terus cerah - penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Prospek Sunway Construction Group Bhd (SunCon) diramalkan terus cerah didorong oleh penglibatan kukuh dalam projek pusat data serta kejayaan memperoleh kontrak baharu, menurut penganalisis.

 

UOB Kay Hian Research berkata, keputusan kewangan suku kedua tahun kewangan 2025 (2Q25) SunCon adalah mengagumkan apabila ia mengatasi jangkaan firma penyelidikan itu serta konsensus pasaran.

 

Firma penyelidikan itu menegaskan pertumbuhan pendapatan SunCon akan terus dipacu oleh pengisian semula buku pesanan yang konsisten.

 

“Setakat ini, syarikat memiliki buku pesanan bernilai RM6.7 bilion dan buku tender sebanyak RM14.8 bilion yang dijangka menyokong pencapaian pendapatan tertinggi sepanjang 2025 hingga 2026.

 

“SunCon mencatat kemenangan kerja baharu kukuh berjumlah RM3.8 bilion setakat ini, termasuk dua pakej pusat data daripada pelanggan Amerika Syarikat.

 

“Ini melibatkan penukaran pakej penglibatan kontraktor awal pusat data di Lembah Klang, kontrak Rapid Transit System Transport Oriented Development (TOD) di Bukit Chagar bernilai RM1.5 bilion pada Mac, serta kontrak DC bernilai RM393 juta untuk K2 Strategic Infrastructure (K2),” kata UOB Kay Hian dalam nota kajiannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN Pendapatan Sunway Construction melonjak 127% kepada RM1.48 bilion pada Q2, catat prestasi terbaik sejak penyenaraian

 

Ketika ini, kerja berkaitan pusat data menyumbang 45% daripada buku pesanan SunCon dan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan syarikat.

 

Malah, daripada jumlah keseluruhan buku tender RM14.8 bilion, antara 75% hingga 80% adalah berkaitan pusat data.

 

Sehubungan itu, UOB Kay Hian mengekalkan saranan “pegang” ke atas SunCon, namun dengan harga sasaran lebih tinggi iaitu RM6.27 berbanding RM5.55 sebelum ini.

 

Firma itu menjelaskan, meskipun pulangan modal kepada pelabur kekal sederhana, harga saham SunCon telah mencatat kenaikan 26% setakat tahun ini.

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research kekal positif dengan prospek SunCon apabila mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran RM6.70.

 

Penilaian tersebut disokong oleh prospek kukuh syarikat serta jangkaan peningkatan pulangan ke atas ekuiti (ROE) melebihi 30%. - DagangNews.com