Projek hidrogen Kelington di Batang Kali berpotensi terajui ekosistem tenaga hijau Selangor, kata Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek hidrogen Kelington di Batang Kali berpotensi terajui ekosistem tenaga hijau Selangor, kata Kenanga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kelington Group Berhad menerusi Ace Gases Sdn Bhd bersedia menjadi peneraju bagi membangunkan ekosistem hidrogen hijau di Selangor menerusi projek rintis 2MW di Loji Hidro Kecil Batang Kali.

 

Kenanga Research berkata, projek itu dijangka menjadi pemangkin penting dalam membentuk asas kepada ekonomi hidrogen di Selangor - dengan aplikasi meluas dalam sektor pengangkutan dan perindustrian - selaras dengan momentum global yang semakin pesat ke arah tenaga bersih dan rendah karbon.

 

Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama Kelington, Worldwide Energy Development Sdn Bhd dan SKS Coachbuilders Sdn Bhd. 

 

Ia bertujuan membuktikan laluan tenaga boleh diperbaharui (RE) sepenuhnya — daripada tenaga hidro kepada pengeluaran hidrogen melalui teknologi elektroliser — sekali gus meningkatkan permintaan tempatan untuk tenaga hidrogen.

 

"Kelington akan mengetuai pembangunan dan pengeluaran elektroliser serta aktiviti pasaran, manakala Worldwide Energy Development akan menyediakan tanah, sumber RE, air dan kemudahan peraturan melalui loji hidro 5.1MW miliknya di Batang Kali, yang juga merupakan sebahagian daripada inisiatif tenaga hidrogen Selangor (SHORE).

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kelington, Worldwide Energy & SKS lancar projek hab hidrogen hijau 2MW di Batang Kali

 

"SKS pula akan memainkan peranan utama di peringkat hiliran dengan memperkenalkan bas berkuasa sel bahan api dan membangunkan stesen isian semula hidrogen, sekali gus mewujudkan rantaian nilai lengkap daripada pengeluaran hingga ke penggunaan tenaga hijau dalam mobiliti.

 

"Projek ini menawarkan potensi kukuh bagi mempercepatkan pembangunan ekosistem hidrogen di Malaysia, khususnya di Selangor — negeri yang giat meneroka rumusan tenaga lestari dan karbon sifar bersih menjelang 2050," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, secara global, pembangunan tenaga hidrogen menunjukkan pertumbuhan pesat, dengan lebih 1,000 stesen isian semula hidrogen kini beroperasi di seluruh dunia, dan kapasiti elektroliser global mencapai 2GW, di mana China menyumbang hampir dua pertiga. 

 

Katanya, negara seperti Jerman, Sepanyol, India, dan Australia turut menetapkan sasaran pembangunan hidrogen antara 10GW hingga 11GW menjelang 2030, menandakan penerimaan teknologi ini yang semakin matang.

 

"Projek Batang Kali ini akan menjadi asas penting dalam strategi Kelington untuk memanfaatkan teknologi elektroliser terbukti dan sumber hidro bagi menghasilkan hidrogen hijau yang boleh dipercayai pada skala rintis.

 

"Dengan sokongan rakan kongsi strategik dan dasar negeri yang progresif, inisiatif itu dijangka membuka jalan bagi penggunaan tenaga hidrogen dalam kenderaan awam, industri berat, dan pengangkutan logistik – sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab tenaga hijau utama di rantau ini," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM6.15 sesaham. - DagangNews.com