Permintaan kukuh biodiesel, penganalisis ramal segmen perladangan KLK kekal berdaya tahan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan kukuh biodiesel, penganalisis ramal segmen perladangan KLK kekal berdaya tahan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Pendapatan segmen perladangan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) diramal kekal berdaya tahan bagi tempoh terdekat dipacu permintaan kukuh biodiesel dari Indonesia, menurut penganalisis.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, prospek jangka pendek segmen pembuatan bagaimanapun dijangka terus mencabar ekoran harga jualan yang kompetitif dan kos bahan mentah yang tidak menentu, yang akan mengehadkan margin bagi operasi penapisan.

 

“Selain itu, pihak pengurusan turut menekankan kemungkinan mencatatkan rosot nilai ke atas pelaburan dalam Synthomer pada suku keempat, memandangkan persekitaran operasi yang mencabar,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran untung bersih kumpulan sebanyak 16.2% bagi tahun kewangan 2025 (FY25) serta 0.4% masing-masing untuk FY26 dan FY27, bagi mencerminkan andaian kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah.

 

Katanya, pendapatan KLK mengatasi jangkaan, menyumbang 86.4% dan 88.9% masing-masing daripada unjuran setahun penuh konsensus dan firma tersebut.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KLK catat lonjakan 44% dalam keuntungan 3QFY25, jangka harga minyak sawit kekal tidak menentu

 

HLIB mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi pada RM24.65 sesaham.

 

KLK melaporkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM346.59 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Jun 2025 (3QFY25), berbanding RM240.18 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan turut meningkat kepada RM6.43 bilion bagi suku dalam kajian daripada RM5.5 bilion sebelum ini.

 

Sementara itu, CIMB Securities menjangkakan pendapatan KLK akan berkurangan pada 4QFY25, terjejas oleh harga MSM dan isirung sawit yang lebih rendah serta kerugian syarikat bersekutu.

 

“Kami mengekalkan unjuran pendapatan buat masa ini, sementara menunggu penjelasan lanjut daripada KLK berhubung harga produk sawit yang lebih kukuh daripada jangkaan yang dicapai pada 3QFY25,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "pegang" dengan TP RM21.50 sesaham.

 

Dalam pada itu, Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, bagi perniagaan pembuatan, margin penapisan dijangka kekal mencabar disebabkan persaingan sengit daripada pesaing Indonesia serta kos bahan mentah yang tidak menentu.

 

Katanya, bagi perniagaan oleokimia, ia dijangka mencatat penambahbaikan secara beransur-ansur dengan potensi lonjakan daripada pasaran terpilih serta peningkatan kapasiti baharu.

 

"Memandangkan potensi kenaikan yang menarik, kami menaik taraf saranan kepada "outperform" dengan TP RM22.72 sesaham," katanya.- DagangNews.com