KUALA LUMPUR 9 Dis – Kenanga Research menyifatkan tawaran RM2.64 sesaham oleh Pharmora Investment Holdings Pte Ltd ke atas Apex Healthcare Berhad adalah adil dan munasabah bagi pemegang saham.
Penasihat bebas syarikat itu berkata, harga tawaran itu berada jauh di atas julat dagangan saham terkini, menawarkan premium berbanding keadaan pasaran biasa serta lebih tinggi daripada harga dagangan terakhir dan purata wajaran volum lima hari (VWAMP).
“Tawaran RM2.64 sesaham mencerminkan premium sekitar 17% hingga 25% berbanding nilai anggaran saham APB antara RM2.11 hingga RM2.26, yang diperoleh melalui kaedah SOPV, gabungan aliran tunai diskaun (DCF) dan aset bersih (NA),” katanya dalam Pekeliling Nasihat Bebas (IAC) yang diterbitkan semalam.
Kenanga turut menekankan tiada cadangan bersaing atau alternatif lain setakat ini, selain tawaran disokong oleh pengakuan tidak boleh ditarik balik yang besar daripada pihak penawar, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap kemungkinan hasil positif tawaran pengambilalihan bersyarat ini (VGO).
ARTIKEL BERKAITAN: Apex Healthcare terima tawaran bersyarat Pharmora pada harga RM2.64 sesaham
“Berdasarkan faktor-faktor tersebut, kami berpendapat bahawa menerima tawaran itu merupakan jalan keluar yang baik dan tepat pada masanya bagi pemegang saham minoriti,” katanya.
Tawaran pengambilalihan ini, yang diumumkan pada awal November 2025, bertujuan untuk memperoleh semua saham biasa yang masih belum dimiliki oleh Penawar Bersama Utama, iaitu Quadria Capital Fund III Holdings Pte. Ltd., Dr Kee Kirk Chin, dan Apex Holdings (Pte) Ltd., termasuk mana-mana saham baru yang timbul daripada opsyen ESOS.
Penawar dan Penawar Bersama Utama berhasrat untuk mengambil syarikat menjadi swasta, tertakluk kepada Syarat Penerimaan.
Tawaran VGO ini masih dibuka untuk penerimaan sehingga 19 Disember 2025, kecuali jika dilanjutkan mengikut peraturan pengambilalihan yang berkenaan. - DagangNews.com








