KUALA LUMPUR 28 Ogos - Sunway Berhad diyakini mencapai sasaran jualan tahunan sebanyak RM3.6 bilion disokong pelancaran projek baharu pada separuh kedua FY25 (2HFY25) termasuk Sunway Serene 2, Sunway Cochrane, Sunway Majestic dan Sunway LakeHills, kata penganalisis.
MBSB Research berkata, sehingga Julai 2025, jumlah jualan kumpulan mencecah RM2.3 bilion, dipacu pelancaran Otto Place di Singapura yang mempunyai nilai pembangunan kasar S$1 bilion.
Katanya, kumpulan itu berpotensi momentum pendapatan dalam tempoh terdekat, dipacu prestasi kukuh bahagian pembinaan dan pelaburan hartanah walaupun beberapa segmen perniagaan lain mencatatkan sumbangan bercampur.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25), kumpulan itu melaporkan keuntungan bersih teras sebanyak RM432.4 juta, meningkat 11.7% berbanding tahun sebelumnya.
"Bahagian pembinaan muncul sebagai penyumbang utama apabila keuntungan melonjak 163% tahun ke tahun, terhasil daripada percepatan projek pusat data yang kini menjadi pemacu utama pendapatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Sunway Berhad catat lonjakan hasil 62% kepada RM2.56 bilion bagi Q2 FY2025
"Dengan Malaysia semakin muncul sebagai hab serantau untuk pusat data, Sunway dilihat berada pada kedudukan baik untuk merebut peluang baharu dalam sektor ini.
"Sementara itu, bahagian pelaburan hartanah mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 8.4% tahun ke tahun, hasil daripada prestasi lebih baik aset pelaburan kumpulan. Walaupun suku kedua FY25 lazimnya lebih perlahan untuk perniagaan riadah dan runcit, bahagian ini kekal berdaya tahan melalui sumbangan hasil berulang dan peningkatan penggunaan aset," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, segmen penjagaan kesihatan masih menanggung kerugian permulaan daripada hospital baharu di Damansara dan Ipoh.
Bagaimanapun, peningkatan jumlah pesakit di hospital sedia ada berjaya mengurangkan sebahagian kesan tersebut. Penyenaraian Sunway Healthcare Group menjelang FY26 dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan kumpulan pada masa hadapan.
"Kami mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran RM5.06 sesaham," katanya.
Sementara itu, RHB Research berkata, pendapatan bagi segmen pembinaan Sunway terus didorong kemajuan kerja yang dipercepatkan untuk projek pusat data.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan, memandangkan angka bagi separuh kedua dijangka lebih kukuh.
Katanya, jualan belum dibil Sunway dan buku tempahan pembinaan tertunggak meningkat kepada RM3.7 bilion dan RM6.7 bilion, berbanding RM3.41 bilion dan RM6.6 bilion pada 1QFY25.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM5.81 sesaham," katanya.- DagangNews.com








