KUALA LUMPUR 1 Okt - OSK Holdings Berhad dijangka menetapkan harga bagi projek servis apartmen terbaharunya di Subang Jaya pada kadar melebihi RM700 sekaki persegi, selaras dengan penanda aras pasaran dan permintaan yang berterusan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Terdahulu, kumpulan itu mengumumkan pengambilalihan tanah kedua tahun ini, iaitu sebidang tanah pegangan bebas seluas 1.34 hektar di Tropicana Metropark, Subang Jaya dengan harga RM44 juta.
Katanya, kos perolehan itu diterjemahkan kepada nisbah kos tanah kepada GDV sebanyak 10.3%, berada pada paras bawah julat tipikal 10% hingga 20% untuk projek bandar, sekali gus memberi OSK ruang mempertahankan margin serta menyerap tekanan kos.
"Tanah tersebut dirancang untuk pembangunan servis apartmen dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM427 juta. Urus niaga dijangka selesai pada suku pertama 2026, dengan pelancaran disasarkan pada 2027," katanya dalams atu nota kajian.
HLIB menekankan rekod jualan kukuh Tropicana Metropark. Projek Alira Residences oleh Avaland Berhad (GDV: RM578 juta) mencatatkan kadar pengambilan lebih 95% setakat Ogos 2024, manakala Amika Residences (GDV: RM460 juta), yang dilancarkan awal tahun ini, mencapai jualan 60% dalam tempoh hanya dua bulan. Harga semasa Amika antara RM690 hingga RM800 sekaki persegi.
ARTIKEL BERKAITAN: OSK Property beli tanah di Subang Jaya berharga RM44.34 juta daripada Tropicana
Tanah berkenaan mendapat manfaat daripada ekosistem komprehensif yang merangkumi hab kediaman dan komersial, pusat runcit, sekolah antarabangsa serta taman bandar seluas 3.72 hektar.
Lokasinya di Subang Jaya, salah satu kejiranan paling matang dan pesat di Lembah Klang, menambah kekuatan kepada permintaan kediaman.
Pembelian di Subang Jaya itu menyusul selepas pengambilalihan tanah di Rawang awal bulan ini, menjadikan jumlah tanah baharu setakat tahun ini sebanyak 7.2 hektar dengan gabungan GDV RM1.69 bilion.
Kini OSK memegang 1008.9 hektar tanah dengan jumlah GDV RM20.2 bilion, memastikan keterlihatan pendapatan jangka panjang.
HLIB menganggarkan, dengan andaian tempoh pembangunan empat tahun dan margin pra-cukai 20%, projek Subang Jaya boleh menyumbang kira-kira RM18.4 juta pendapatan tahunan, bersamaan dengan 0.59 sen EPS, sepanjang FY28 hingga FY31.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.13 sesaham.- DagangNews.com








