KUALA LUMPUR 15 Mei - Syarikat e-hailing Maxim akan terus beroperasi di Malaysia sehingga perbincangan bersama pihak berkuasa pengangkutan selesai.
Katanya, perbincangan bersama pihak berkuasa sedang dilakukan selepas mereka diarah mengehentikan operasi berkuat kuasa 24 Julai 2025.
Perbincangan itu katanya, bagi menyelesaikan segala perkara berkaitan selain mengekalkan reputasi dan kepercayaan yang dibina selama ini.
"Ia juga bagi memberi penjelasan jelas kepada pengguna, rakan kongsi, vendor, dan pihak berkepentingan lain yang bekerjasama rapat dengan Maxim Malaysia.
"Maxim Malaysia mengutamakan keselamatan awam sebagai keutamaan sejak mula beroperasi di Malaysia kira-kira lima tahun yang lalu. Apabila pengguna memilih aplikasi Maxim dengan pelbagai perkhidmatan yang disediakan, keutamaan ini adalah untuk memastikan mereka berasa selesa dan selamat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan arah InDrive, Maxim henti operasi mulai 24 Julai 2025
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan, surat pemberhentian operasi kepada dalam talian tersebut telah dihantar oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) baru-baru ini tetapi menyatakan ia masih boleh mengemukakan rayuan, namun proses itu hanya boleh diputuskan beliau sendiri selaku menteri yang bertanggungjawab.
Pada 6 Mei 2025, Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia menuntut kerajaan menutup dua platform itu kerana didakwa beroperasi secara haram dan menawarkan perkhidmatan tanpa mengikut peraturan.
Antaranya, para pemandu InDrive dan Maxim didapati langsung tiada lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam yang sah dan tidak melakukan sebarang pemeriksaan kenderaan seperti ditetapkan.
Syarikat yang diasaskan di Rusia itu berkata, pihaknya mengutamakan keselamatan awam sejak mula beroperasi di negara ini pada 2019.
Katanya, pemandu yang mendaftar di aplikasinya menjalani pemeriksaan menyeluruh oleh pegawai khusus untuk memastikan garis panduan yang ditetapkan oleh APAD dan Kementerian Pengangkutan dipatuhi.
“Kami sentiasa mematuhi undang-undang negara, bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk menyelesaikan sebarang isu, dan memberikan sokongan sepenuhnya.
Katanya, bagi memastikan pemandu rakan kongsi yang berpotensi dapat memperoleh lesen PSV dengan cepat untuk menyertai platform kami, pihaknya telah bekerjasama dengan beberapa sekolah memandu di seluruh Malaysia.
Selain itu, Maxim Malaysia juga bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan pemandu berpotensi memahami peraturan dan garis panduan lalu lintas di jalan raya Malaysia.
"Maxim Malaysia akan sentiasa mematuhi undang-undang negara, bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk menyelesaikan sebarang isu, dan memberikan sokongan sepenuhnya," katanya. - DagangNews.com








