Malakoff dijangka berdepan tekanan pendapatan disebabkan harga arang batu kekal rendah - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malakoff dijangka berdepan tekanan pendapatan disebabkan harga arang batu kekal rendah - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Malakoff Corp Berhad dijangka berdepan tekanan pendapatan pada suku tahun akan datang disebabkan harga arang batu kekal rendah sekali gus menekan harga bayaran tenaga daripada loji janakuasa arang batunya, Tanjung Bin Power dan Tanjung Bin Energy.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25), Malakoff merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) teras sebanyak RM62.8 juta, meningkat 84.8% suku ke suku hasil pembalikan peruntukan nilai boleh direalisasi bersih (NRV) inventori arang batu. 

 

Bagaimanapun, keuntungan susut 21.6% tahun ke tahun disebabkan harga  arang abtu terpakai (ACP) yang lebih rendah sehingga mencatat margin bahan api negatif, selain pengurangan pelepasan tenaga daripada loji kuasa berasaskan gas.

 

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25), PATMI teras Malakoff hanya mencapai RM62.8 juta, iaitu 40.5% daripada unjuran penganalisis dan 36.9% daripada anggaran konsensus untuk setahun penuh. Penganalisis memberi amaran bahawa harga arang batu yang dijangka terus rendah akan mengekang sumbangan daripada operasi berasaskan arang batu.

 

“Lambakan bekalan arang batu, khususnya dari China, menekan harga penanda aras serantau dan keadaan ini dijangka terus menjejaskan ACP serta pendapatan Malakoff,” katanya dalam satu nota kajian merujuk kepada kejatuhan 26% import arang batu China pada Jun 2025, terendah sejak awal 2023.

 

ARTIKEL BERKAITAN: PATMI Q2 Malakoff susut 33%, pelaburan RE & BESS jadi fokus baharu

 

Bayaran tenaga daripada loji arang batu Malakoff merosot 10.3% tahun ke tahun dalam 2QFY25 meskipun pelepasan tenaga meningkat 9%, berikutan ACP yang lebih rendah pada RM20.6/mmBtu berbanding RM24.0/mmBtu setahun lalu.

 

Dengan pertumbuhan permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia sederhana pada 1.4% tahun ke tahun, PublicInvest menjangka pendapatan Malakoff terus lembap. 

 

Susulan itu, unjuran keuntungan kumpulan dipotong sebanyak 25.9%, 9.7% dan 5.9% masing-masing bagi FY25, FY26 dan FY27 manakala saranan ke atas saham diturunkan kepada “jual dagangan” dengan harga sasaran 82 sen sesaham.

 

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pada suku tersebut semua loji janakuasa sekali lagi menerima hampir sepenuhnya bayaran kapasiti memandangkan tiada gangguan besar berlaku. 

 

Katanya, dari segi kos, peningkatan kos operasi & penyelenggaraan secara suku ke suku serta pelebaran margin bahan api negatif (di loji Tanjung Bin Power berikutan penurunan harga arang batu) telah diimbangi oleh pembalikan peruntukan inventori arang batu terdahulu. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, memandangkan margin bahan api negatif yang ketara telah direkodkan dalam 1HFY25, dan tiada tanda pemulihan harga arang batu dalam masa terdekat, pihaknya menurunkan unjuran pendapatan FY25/FY26/FY27 masing-masing sebanyak 24%/0.2%/0.2% bagi mengambil kira margin bahan api negatif di Tanjung Bin Power.

 

"Dengan Malakoff sedang mencari peluang projek penjanaan baharu, kami mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran 90 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com