KUALA LUMPUR 22 Dis – Projek pembangunan MS Industrial Park @ Kulai diyakini mengukuhkan kedudukan Mah Sing Group Berhad sebagai peneraju utama hartanah perindustrian di Johor, memanfaatkan lonjakan permintaan industri yang semakin pesat di negeri itu, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata melalui projek tersebut, Mah Sing diyakini akan terus memanfaatkan peluang daripada pertumbuhan ekonomi serantau dan permintaan daripada sektor logistik dan pusat data.
Baru-baru ini, Mah Sing mengumumkan usaha sama strategik dengan KLK Land Sdn Bhd untuk membangunkan tanah seluas 419.15 ekar di Kulai, Johor.
Tanah itu akan diperoleh daripada Aura Muhibbah Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh KLK Land, pada harga RM273.87 juta dengan Mah Sing memegang 60 peratus pegangan ekuiti manakala KLK Land memegang 40 peratus.
Pengambilalihan tanah dijangka selesai pada suku kedua FY26 dan pembangunan taman perindustrian tersebut dijangka menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang syarikat.
MBSB Research berkata harga pengambilalihan tanah dilaporkan RM15 per kaki persegi, lebih rendah berbanding transaksi terbaru oleh Eco World Development Group sebanyak RM20 per kaki persegi, sekali gus meningkatkan daya tarikan pelabur.
ARTIKEL BERKAITAN: Mah Sing, KLK Land bekerjasama lancar MS Industrial Park @ Kulai dengan GDV RM2.26 bilion
“Mah Sing dijangka mengekalkan gearing bersih di bawah 0.3x selepas pengambilalihan tanah, meningkat sedikit daripada 0.25x pada 3QFY25 kepada 0.29x, menunjukkan kedudukan kewangan yang sihat.
“Oleh itu, kami mengekalkan cadangan beli bagi saham Mah Sing dengan sasaran harga RM1.54, meningkat daripada RM1.52, berdasarkan diskaun 38 peratus kepada RNAV syarikat,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Saham Mah Sing dijangka memberi pulangan harga 62.1 peratus, manakala hasil dividen dijangka sekitar 5.1 peratus, menjadikan jumlah pulangan dijangka 67.2 peratus.
Projek MS Industrial Park @ Kulai dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.26 bilion, menjadikannya salah satu projek perindustrian terbesar di kawasan itu.
Taman perindustrian ini akan menampilkan gabungan kilang berkelompok, kilang separa berkembar, kilang berkembar, serta tanah kosong untuk gudang, hab logistik dan pusat data, memenuhi keperluan pelbagai industri.
Lokasi projek yang strategik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Lebuhraya Utara-Selatan dijangka memudahkan operasi logistik bagi syarikat yang akan menempati taman perindustrian tersebut.
Menurut MBSB Research, Mah Sing dijangka mendapat manfaat daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan merangsang permintaan hartanah perindustrian di Johor.
Projek ini dijangka memperkukuh kehadiran Mah Sing dalam pembangunan perindustrian di Johor dan membolehkan syarikat terus menumpang pada pertumbuhan permintaan dari sektor logistik dan data. - DagangNews.com








