Jangan ulang tragedi Nuri: Ahli Parlimen Besut tempelak pembaziran aset maritim di Dewan Rakyat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jangan ulang tragedi Nuri: Ahli Parlimen Besut tempelak pembaziran aset maritim di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR 8 Okt – Kerajaan perlu memperkukuh tadbir urus dan pengurusan kewangan bagi mengelak ketirisan serta pembaziran dalam perbelanjaan awam khususnya melibatkan aset usang dan hasil negara yang gagal direalisasikan, tegas Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

 

Ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 Tahun 2025 di Dewan Rakyat, beliau berkata, perbelanjaan tinggi untuk penyelenggaraan aset lama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menunjukkan kelemahan dalam keutamaan perbelanjaan kerajaan.

 

Menurutnya, APMM telah membelanjakan RM229.93 juta bagi penyelenggaraan kapal berusia lebih 30 tahun dan RM78 juta lagi bagi bot berusia antara 11 hingga 20 tahun, yang disifatkannya sebagai langkah tidak berhemah serta berisiko kepada operasi agensi tersebut.

 

Beliau menegaskan kerajaan perlu mengelak daripada terperangkap dalam apa yang disebut sebagai ‘sunk cost fallacy’ atau kesesatan kos lepas, iaitu meneruskan perbelanjaan hanya kerana pelaburan lama yang telah dibuat tanpa menilai keberkesanan semasa.

 

t
Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

 

“Kita telah belajar daripada pengalaman helikopter Nuri yang diselenggara terlalu lama sehingga menelan kos lebih besar daripada membeli baharu dan akhirnya meragut nyawa anggota keselamatan. Jangan biar ‘Sindrom Nuri’ berulang di laut pula,” katanya, lapor TRDI News.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tuntutan bernilai RM32.34 juta tanpa invois pembekal antara kelemahan dikesan dalam APMM - Laporan Ketua Audit Negara

 

Che Mohamad turut mempersoalkan ketidakaturan dalam pengurusan aset APMM termasuk bayaran hampir RM60,000 bagi peralatan yang tidak dibekalkan serta RM140,000 bagi peralatan yang tidak menepati spesifikasi.


 

 

Beliau berkata, kelemahan tersebut bukan isu teknikal semata-mata, sebaliknya membabitkan aspek keselamatan apabila beberapa ujian penting bagi menentukan kelayakan pelayaran kapal tidak dijalankan sebelum pendaftaran aset dibuat.

 

“Kegagalan seperti ini membahayakan anggota maritim yang bertugas di laut dan mencerminkan pengurusan aset yang longgar serta tidak menepati prinsip tadbir urus yang baik,” ujarnya.

 

Dalam perbahasan sama, beliau turut menyentuh isu hasil kerajaan yang tidak direalisasikan sebagaimana dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara, termasuk anggaran hasil tambahan sekurang-kurangnya RM115 juta yang boleh diperoleh jika nombor pendaftaran kenderaan tidak aktif ditawarkan semula kepada umum pada harga minimum.

 

t

 

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu denda dan sewaan tidak dikutip melibatkan jumlah puluhan juta ringgit serta peningkatan akaun belum terima hasil kepada RM44.55 bilion pada 2024 berbanding RM39.52 bilion pada tahun sebelumnya, iaitu kenaikan 12.8 peratus.

 

Daripada jumlah tersebut, RM20.6 bilion telah melebihi tempoh enam tahun dan berisiko dihapus kira, sekali gus menunjukkan tahap kecekapan kutipan hasil kerajaan yang masih rendah.

 

Beliau menegaskan setiap hasil yang gagal dikutip bermaksud kehilangan sumber penting untuk rakyat, sama ada dalam bentuk kemudahan awam, pendidikan mahupun keselamatan, sambil mengingatkan bahawa “kebocoran hasil bukan kerana kecurian, tetapi kerana kelekaan pentadbiran.”

 

Che Mohamad menegaskan teguran terhadap laporan audit bukan bertujuan menyerang kerajaan, sebaliknya untuk memperbetulkan kelemahan dan memastikan setiap sen hasil negara dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat. 

 

Katanya, tadbir urus yang baik mesti diterjemahkan melalui tindakan, bukan sekadar slogan “Malaysia Madani Bekerja” yang kelihatan gah di permukaan. - DagangNews.com