Isu tanah ladang: Terengganu masih buka pintu rundingan dengan FELDA, FGV | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu tanah ladang: Terengganu masih buka pintu rundingan dengan FELDA, FGV

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 3 Dis – Kerajaan negeri Terengganu masih membuka ruang perbincangan dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Berhad (FGV) berhubung isu tanah ladang di negeri itu.
 

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, Terengganu sentiasa terbuka untuk berbincang sekiranya FELDA dan FGV memerlukan tempoh lebih lama untuk menyelesaikan isu tersebut. 

 

“Kerajaan negeri sentiasa terbuka. Hantarlah orang besar yang boleh buat keputusan. Biarlah tempoh 40 tahun yang dah berlalu. 

 

“Tapi janganlah minta tambahan 40 tahun lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau bagaimanapun menempelak tindakan FELDA dan FGV susulan kenyataan bersama dua agensi itu yang memaklumkan sedang membuat semakan teliti dan kemaskini dokumen untuk memastikan semua langkah diambil berlandaskan undang-undang.

 

Dr Azman berkata, isu tersebut sudah berlarutan 40 tahun namun masih tiada sebarang penyelesaian kerana tidak mendapat maklum balas sewajarnya dari FELDA dan FGV.

 

“Isu ini sudah timbul dari zaman kerajaan penggal sebelum 2018 lagi. Saya dan pasukan hanya meneruskan tuntutan sama yang belum selesai. 

 

“Bukan tuntut perkara baru. Sebelum ini dokumen simpan di mana,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Isu tanah Terengganu: FELDA, FGV sedang buat semakan untuk selesaikan mengikut undang-undang

 

Dalam pada itu, beliau menjelaskan tanah di bawah Akta Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 (Akta GSA) ialah tanah Rancangan Felda yang mempunyai peneroka. 

 

“Di Terengganu ada 21 Tanah Rancangan Felda. Hampir keseluruhan Tanah Rancangan Felda ini telah diberikan geran hakmilik yang sah kepada peneroka. 

 

“Fakta yang tak dapat dinafikan, Kerajaan Negeri Terengganu pimpinan PAS paling serius berusaha untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah peneroka Felda. 

 

“Di kawasan saya, Felda Selasih yang dibuka awal tahun 80 an, peneroka Felda Selasih telah berjaya mendapat geran hak milik pada tahun 2003 ketika zaman pemerintahan PAS Terengganu,” katanya.

 

Tambahnya, pada tahun 2022, sekali lagi dizaman pemerintahan PAS juga, kerajaan negeri telah menyelesaikan pemberian geran hak milik tapak rumah generasi kedua Felda Selasih. 

 

“Ini rekod yang boleh berbicara sendiri. Apabila geran hak milik telah dikeluarkan kepada peneroka, ia bermakna peneroka telah membayar premium tanah dan cukai tanah. 

 

“Bukan Felda yang bayar. Ia tak berbangkit dan tak ada kaitan langsung dengan isu ladang FGV yang sedang diperjuangkan Kerajaan Negeri. Tanah ladang komersial FGV tak diwartakan bawah Akta GSA.

 

“Kenapa pengurusan Felda nak tarik sekali peneroka ke dalam krisis ciptaan mereka sendiri. Peneroka tak terlibat dan tak bersalah sedikit pun. Ini tak gentleman. Kamu guna taktik letak peneroka jadi perisai manusia,” katanya. - DagangNews.com