KUALA LUMPUR 29 April - HHRG Bhd yang dahulunya dikenali sebagai Heng Huat Resources Group Bhd telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Fong Chee Khuen.
Pengeluar bahan biojisim itu berkata, Chee Khuen turut dikenakan lanjutan penggantungan sementara menunggu jawapannya terhadap beberapa persoalan berkaitan transaksi kewangan dan tingkah laku peribadi.
“Penggantungan ini dilanjutkan sehingga diberitahu kelak sementara menunggu jawapan beliau terhadap surat tunjuk sebab dan pertimbangan lembaga pengarah terhadap jawapannya,” kata dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
HHRG memberi jaminan, sebarang perkembangan lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Timbalan Pengerusi Eksekutif, Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim, kini menjalankan semua tugas operasi buat sementara waktu, menurut kenyataan terdahulu syarikat itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Penggantungan CEO HHRG disambung dua minggu lagi sementara tunggu siasatan dalaman
Chee Kuen pada awalnya digantung selama dua minggu bermula 7 April, dan lanjutan selama dua minggu lagi hingga 4 Mei 2025, sebelum penggantungan terbaru itu.
Penggantungan Chee Kuen berlaku di tengah-tengah pertikaian antara pemegang saham terbesar HHRG, Cfamillie Holdings Sdn Bhd (yang mempunyai kaitan dengan keluarga Ch’ng), dan lembaga pengarah syarikat, di mana Cfamillie kini tidak mempunyai sebarang wakil.
Pertikaian itu tertumpu kepada MG Furniture Sdn Bhd, yang mana HHRG memiliki 51% pegangan melalui perjanjian penjualan saham dengan Cfamillie pada 2022.
HHRG kini sedang menjalankan siasatan yang diluluskan oleh mahkamah terhadap MG Furniture.
Sebagai sebahagian daripada siasatan tersebut, HHRG telah memperoleh perintah mahkamah untuk menghalang pengarah urusan MG Furniture, Ch’ng Chen Mong, pengarah Tan Poh Cheng dan anak mereka Ch’ng Boon Sin daripada memasuki premis syarikat kecuali bagi urusan rasmi dengan notis awal. - DagangNews.com








