Grab perluas GrabShuttle sokong ETS3 kukuhkan sambungan mobiliti terakhir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Grab perluas GrabShuttle sokong ETS3 kukuhkan sambungan mobiliti terakhir

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 11 Dis – Grab Malaysia komited menyokong pelaksanaan Perkhidmatan Kereta Api Elektric 3 (ETS3)  menghubungkan Kuala Lumpur dan Johor Bahru mulai 12 Disember 2025, dengan menumpukan kepada penyediaan rumusan mobiliti terakhir melalui model GrabShuttle.

 

Dalam kenyataan hari ini, Grab berkata pihaknya bersedia memainkan peranan melengkapkan perjalanan penumpang ETS3 menerusi sambungan terus ke Stesen JB Sentral, sekali gus mewujudkan perjalanan pintu-ke-pintu yang lebih lancar, selesa dan boleh diharap.

 

“Melalui GrabShuttle, kami menawarkan kemudahan mobiliti terakhir yang mampu memenuhi keperluan penumpang ETS3, memastikan mereka tiba ke destinasi akhir dengan mudah dan efisien,” katanya dalam kenyataan.

 

Menurut Grab, integrasi GrabShuttle dengan ETS3 dijangka meningkatkan akses pengangkutan bagi pengguna tempatan dan pelancong, selaras dengan usaha kerajaan Persekutuan dan negeri dalam merancakkan sektor pelancongan menerusi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Johor 2026.

 

Artikel berkaitan: Perkhidmatan ETS3 KL-JB dilancarkan, jimat masa perjalanan sehala kurang 5 jam

 

Grab berkata pihaknya yakin GrabShuttle mampu menjadi rumusan mobiliti yang mampu milik dan mudah dicapai oleh semua lapisan masyarakat, khususnya ketika permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan yang lebih tersusun dan bersepadu semakin meningkat.

 

“Grab kekal komited menyediakan solusi mobiliti yang selamat, cekap dan mesra pengguna untuk menyokong inisiatif pengangkutan nasional serta mengukuhkan keterhubungan komuniti,” menurut kenyataan itu.

 

Perkhidmatan GrabShuttle sebelum ini terbukti berkesan sebagai model perjalanan berjadual berkapasiti tinggi, dan pelaksanaannya di Johor dijangka memudahkan aliran penumpang ETS3 serta mengurangkan kesesakan di kawasan pusat bandar. - DagangNews.com