KUALA TERENGGANU 24 Sept – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menggesa Kerajaan Negeri meneliti semula pelaksanaan pelarasan tarif air yang diumumkan baru-baru ini, susulan kebimbangan terhadap kesan kenaikan mendadak terhadap rakyat berpendapatan rendah.
Ketuanya, To’ Puan Zarani Othman berkata, pihaknya memahami keperluan pelarasan tarif Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dalam menampung kos operasi serta penyelenggaraan, namun menegaskan langkah berkenaan tidak wajar sehingga membebankan pengguna.
"Namun pada masa yang sama, kenaikan mendadak ini memberi kesan besar kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan keluarga besar.
"Sehubungan itu, kami memohon Kerajaan Negeri meneliti semula kadar tarif air yang telah ditetapkan agar tidak membebankan pengguna. Pertimbangan boleh diberikan melalui beberapa kaedah seperti menetapkan mekanisme subsidi bersasar untuk isi rumah B40.
"Selain itu, semakan semula kadar blok tarif melebihi 20m³ agar lebih berpatutan juga boleh dilakukan dan menambah baik langkah pendidikan penggunaan air secara berhemah tanpa membebankan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pertimbangan boleh diberikan melalui beberapa kaedah seperti menetapkan mekanisme subsidi bersasar untuk isi rumah B40.
Menurutnya, pendekatan tersebut dapat meringankan beban rakyat, di samping memastikan keperluan asas terus terjamin seiring dengan dasar Terengganu Maju, Berkat Sejahtera.
“DMPNT yakin dengan keprihatinan kepimpinan negeri, penyelesaian terbaik dapat dicapai demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Gesaan itu dibuat susulan kemarahan rakyat terhadap SATU berikutan kenaikan tarif air bermula Ogos 2025.
Rakyat Terengganu meluahkan rasa tidak puas hati mereka di media sosial dan mendakwa kenaikan itu sangat membebankan kerana jumlahnya hampir sekali ganda berbanding sebelum pelaksanaan tarif baharu.
ARTIKEL BERKAITAN Tarif air baharu Terengganu berkuat kuasa 1 Ogos 2025 - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd

Terdahulu, SATU memaklumkan pelarasan itu terpaksa dibuat kerana pihaknya memerlukan kos setinggi RM500 juta bagi kerja pembaikan dan penggantian jajaran paip usang dan kritikal di seluruh negeri, sebagai usaha memastikan kelangsungan bekalan air kepada rakyat terus terjamin.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut dilaporkan berkata, pelarasan tarif air yang dilaksanakan pada 2022 dibuat selepas 27 tahun tidak pernah disemak.
Katanya, sambungan pelarasan seterusnya yang dibuat pada Ogos 2025 adalah langkah penting bagi menampung sebahagian kos tersebut serta memastikan operasi bekalan air terus lestari dan tidak terjejas.
“Daripada keseluruhan 8,600 kilometer jajaran paip di Terengganu, kira-kira 1,300 kilometer adalah paip AC (asbestos cement) yang usang dan telah melebihi jangka hayat.
"Daripada keseluruhan 1,300 paip AC tersebut hampir 580 kilometer di 130 lokasi telah dikenal pasti sebagai paip kritikal dan perlu ditukar segera.
“Kos ini perlu ditanggung Kerajaan Negeri dan SATU, dan tanpa pelarasan tarif adalah mustahil untuk menampung kos penggantian paip, penyelenggaraan serta operasi harian selepas semua kos bahan meningkat,” katanya. - DagangNews.com








