Cadangan penswastaan SciPak diramal kukuhkan perniagaan pembungkusan Scientex - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cadangan penswastaan SciPak diramal kukuhkan perniagaan pembungkusan Scientex - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Cadangan penswastaan Scientex Packaging (Ayer Keroh) Bhd (SciPack) menerusi cadangan pengurangan modal terpilih (SCR) merupakan sebahagian daripada strategi Scientex Berhad menyelaraskan operasi pembungkusan di bawah satu entiti.

 

TA Securities berkata, langkah itu dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan penggunaan sumber serta mengukuhkan pengawasan pengurusan bagi segmen pembungkusan kumpulan.

 

Katanya, di bawah cadangan itu, Scientex menawarkan RM1.50 sesaham, iaitu premium 5.9% berbanding purata harga wajaran volum (VWAP) enam bulan SciPack sebanyak RM1.42, tetapi diskaun 5.8% berbanding VWAP 12 bulan sebanyak RM1.60. 

 

Pada 12 September 2025, tawaran tersebut turut mencerminkan premium 2.7% berbanding harga pasaran semasa iaitu RM1.46.

 

"Bagaimanapun, penswastaan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham layak SciPack pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan datang, di mana usul berkenaan perlu mendapat sekurang-kurangnya 75% undian sokongan daripada jumlah undi, dengan tidak lebih daripada 10% pemegang saham menolak usul itu," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Scientex cadang pengurangan modal terpilih bagi penswastaan SciPack

 

TA Securities berkata, penilaian semasa adalah munasabah walaupun lebih tinggi berbanding gandaan P/E 14x yang digunakan bagi segmen pembuatan Scientex. 

 

Katanya, impak kewangan kumpulan adalah minimum kerana cadangan SCR itu hanya memerlukan pembiayaan sebanyak RM147.8 juta.

 

Dengan andaian ia dibiayai melalui gabungan pinjaman (40%) dan dana dalaman (60%), nisbah hutang kumpulan dijangka meningkat sedikit sebanyak 0.02x kepada 0.48x. 

 

"Walaupun terdapat kos faedah tambahan, transaksi ini dijangka meningkatkan keuntungan FY26 sebanyak 6.5% selepas mengambil kira kesan bersih daripada pembiayaan. - DagangNews.com