KUALA LUMPUR 24 April – Kontrak terbaharu yang diperoleh Solarvest Holdings Bhd bernilai RM1.06 bilion bagi projek solar berskala besar (LSS5+) di Perak akan terus memperkukuh kedudukan Kumpulan itu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui negara, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research).
Firma penyelidikan itu berkata kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) itu dijangka memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh kepada Solarvest untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun akan datang.
“Projek berkenaan telah meningkatkan jumlah buku tempahan kumpulan kepada RM2.7 bilion, mencerminkan prospek kerja yang stabil dalam tempoh jangka sederhana.
“Solarvest juga dijangka menerima pendapatan berulang sekitar RM28 juta setahun selepas projek itu beroperasi, berdasarkan pegangan ekuiti efektif sebanyak 20 peratus dalam konsortium projek tersebut,” kata HLIB dalam nota kajiannya.
Projek LSS5+ itu melibatkan loji fotovoltaik berkapasiti 470 megawatt arus ulang alik (MWac) yang dibangunkan oleh unit Solarvest, Atlantic Blue Sdn Bhd, bersama Malakoff Silver Solar Sdn Bhd sebagai pihak pemberi kontrak.
Loji berkenaan dijadualkan mencapai tarikh operasi komersial (COD) pada 29 Februari 2028, dan dijangka menjadi antara projek tenaga solar berskala besar utama di Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Solarvest menang kontrak RM1.06 bilion bangunkan loji solar berskala besar di Larut dan Matang, Perak
Selain projek ini, HLIB Research berkata kerjasama Solarvest dengan syarikat Kanada, Brookfield, di bawah program Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) serta peluang daripada program LSS6 akan menjadi pemangkin pertumbuhan seterusnya.
Bagi tahun kewangan 2026, firma itu mengekalkan unjuran keuntungan Solarvest pada RM81.5 juta dengan jangkaan hasil meningkat kepada RM791.6 juta, serta mengekalkan saranan “Beli” dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.43.
Baru-baru ini, Solarvest Bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan ES Sunlogy Berhad mengumumkan kejayaan menyiapkan dua loji solar dengan kapasiti gabungan 60MWac.
Projek bersama tersebut dilaksanakan di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dalam usaha ketiga-tiga syarikat berkenaan mempercepat peralihan tenaga Malaysia agar terus diperkukuh.
Ia dibangunkan melalui Setia Kawan Energy Sdn Bhd (SKE) di Manjung, Perak dan Selarong Pertama Energy Sdn Bhd (SPE) di Kulim, Kedah, yang membolehkan proses pembekalan dibuat secara maya.
Tenaga boleh diperbaharui (RE) tersebut akan disalurkan terus kepada pengguna korporat melalui perjanjian jangka Panjang antaranya termasuk Micron Semiconductor Malaysia Sdn Bhd, Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd, Bursa Malaysia Berhad serta NTT Global Data Centers CBJ1 Sdn Bhd. - DagangNews.com








