Buku tempahan Kelington diyakini melepasi paras RM1 bilion pada FY25, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Buku tempahan Kelington diyakini melepasi paras RM1 bilion pada FY25, kata RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Sept - Kedudukan buku tempahan Kelington Group Berhad diyakini melebihi paras RM1 bilion pada tahun kewangan 2025 (FY25) dipacu kejayaan mendapatkan kontrak baharu di Singapura.   

 

RHB Research berkata, kontrak tersebut melibatkan pembinaan sistem paip pengagihan gas pukal bagi sebuah pengeluar semikonduktor terkemuka dari Amerika Syarikat (AS). 

 

Katanya, projek itu berkaitan dengan kemudahan pembungkusan lanjutan memori jalur lebar tinggi (HBM) – yang pertama di Singapura – bagi memenuhi permintaan pesat terhadap cip kecerdasan buatan (AI). 

 

Firma penyelidikan itu berkata, buku tempahan kumpulan itu setakat ini, menyamai jumlah keseluruhan yang dicapai sepanjang 2024. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kelington raih kontrak RM108 juta bagi projek kemudahan pembungkusan termaju di Singapura

 

Jumlah itu merangkumi kontrak bernilai RM244 juta daripada sebuah syarikat semikonduktor Jerman yang diumumkan pada Ogos lalu, serta projek lain bernilai RM164 juta yang diperoleh pada Julai–Ogos.

 

"Buku tender kumpulan pula dianggarkan berjumlah RM4 bilion selepas mengambil kira kontrak terbaharu. 

 

"Antara tender utama yang sedang ditunggu keputusan termasuklah projek kejuruteraan lanjutan (AE) kedua di Dresden (sekitar RM1.4 bilion), India (RM1.1 bilion), selain peluang di China/Hong Kong (RM600 juta) dan Singapura (RM600 juta)," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Research berkata, baru-baru ini kumpulan itu menubuhkan anak syarikat di Jepun dan sedang menjalankan perbincangan dengan inisiatif foundri nasional negara itu, Rapidus, serta sebuah syarikat semikonduktor AS yang sedang membina kemudahan baharu di Hiroshima.

 

Katanya, walaupun prospek kumpulan kekal positif, risiko yang perlu diberi perhatian termasuk kelembapan dalam penambahan semula kontrak, tekanan margin akibat kenaikan kos, serta kemungkinan kelewatan pelaksanaan projek yang boleh menjejaskan prestasi kewangan.

 

Bagaimanapun, dengan permintaan berterusan terhadap infrastruktur semikonduktor serta hubungan kukuh dengan pelanggan utama, Kelington diyakini berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan momentum pertumbuhan sehingga 2025 dan seterusnya.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM6.10 sesaham," katanya. - DagangNews.com