Zii Jia berisiko terlepas Indonesia Masters akibat kecederaan belakang | DagangNews Skip to main content

Zii Jia berisiko terlepas Indonesia Masters akibat kecederaan belakang

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - Perseorangan badminton lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia berkemungkinan besar terlepas aksi Indonesia Masters pada pertengahan bulan ini akibat kecederaan belakang selepas mengharungi empat kejohanan berurut-turut di Eropah.

 

Dalam aksi akhir Terbuka Hylo, Jerman, pemain berusia 23 tahun itu terpaksa menarik diri pada set ketiga selepas mengalami kesakitan dan terpaksa akur dengan kekalahan 21-19, 13-21, 12-17 kepada pemain Singapura, Loh Kean Yew.

 

Keputusan itu sekaligus meleburkan peluangnya untuk meraih kejuaraan kedua tahun ini selepas All England dengan menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen.

 

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan memberitahu, Zii Jia sudah menampilkan aksinya pada tahap maksimum dan ia boleh disifatkan pengalaman baharu untuk pemain itu.

 

"Saya tidak mahu bercakap mengenai strategi, mengenai taktikal kerana Zii Jia sudah mencuba sehabis baik dalam kejohanan ini tetapi kita dapat lihat dia kepenatan dari segi mental. Mungkin ini pengalaman baharu untuk dia.

 

"Mengenai kecederaan belakang yang dialaminya, dia akan berehat selepas beberapa hari dan kami akan menunggu hingga saat akhir sebelum membuat sebarang keputusan.

 

"Mungkin dia akan terlepas aksi Indonesia Masters sekiranya kecederaannya tidak pulih," katanya. 

 

Selain Terbuka Hylo yang berakhir semalam, Zii Jia sudah beraksi dalam empat lagi kejohanan iaitu Piala Thomas, Piala Sudirman, Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

 

Selepas ini dia dijadualkan beraksi di Indonesia Masters pada 16-21 November ini selain Terbuka Indonesia (23-28 November) dan Siri Jelajah Dunia Akhir (1-5 Disember) sekirannya layak.-DagangNews.com