Yayasan Jeffrey Cheah rancang lancarkan tabung endowmen lebih RM1 bilion | DagangNews Skip to main content

Yayasan Jeffrey Cheah rancang lancarkan tabung endowmen lebih RM1 bilion

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj (kanan) bersama Jeffrey Cheah pada majlis ulang tahun ke-10 Yayasan Jefrrey Cheah di Petaling Jaya, semalam.

 

PETALING JAYA 25 Sept.  – Yayasan Jeffrey Cheah, perusahaan sosial tertumpu kepada pendidikan terbesar di Malaysia, mengumumkan rancangannya untuk melancarkan sebuah tabung endowmen dengan tujuan melebihi RM1 bilion dalam masa 10 tahun.

Komitmen tersebut diumumkan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-10 Yayasan Jeffrey Cheah. Endowmen tersebut akan diuruskan oleh sebuah jawatankuasa termasuk ahli-ahli Lembaga Amanah.

Pengumuman itu dibuat oleh pengasas dan pemegang amanah Yayasan Jeffrey Cheah, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah di Sunway University semalam, yang turut dihadiri tetamu istimewa, Sultan Selangor 
Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Yang turut hadir ialah ahli Lembaga Amanah Yayasan iaitu YAM Tunku Zain Abidin Ibni Tuanku Muhriz, Tan Sri Datuk Seri Razman Hashim, Tan Sri Zarinah Anwar, Dato’ Sri Idris Jala, Tan Sri Dato’ Professor Dr Lin See Yan, Tan Sri Dato’ Seri Dr Ranjit Ajit Singh dan Toh Puan Dr Aishah Ong.

Cheah juga mengumumkan bahawa Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, yang hadir pada majlis itu, telah menerima pelawaannya untuk menyertai Lembaga Amanah. Tan Sri Jemilah, pengasas MERCY Malaysia, kini berkhidmat sebagai penasihat khas kesihatan awam kepada Perdana Menteri Malaysia.

Sehingga kini, Yayasan Jeffrey Cheah adalah bernilai lebih daripada RM1.2 bilion yang disokong oleh aset ketara bersih bernilai RM800 juta.

Cheah berkata penubuhan tabung endowmen itu akan membantu memastikan kelestarian yayasan. “Kita berhubung dengan Kerajaan untuk melakukan perubahan yang perlu kepada undang-undang Malaysia untuk membolehkan kita melancarkan tabung endowmen ini.”

Beliau menyatakan mengikut peraturan sedia ada, yayasan dikehendaki mengagihkan sekurang-kurangnya 50% dana yang diterima pada tahun seterusnya.

“Ini adalah sangat berbeza dengan peraturan di beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat dan Singapura. Di negara-negara tersebut, institusi yang dibenarkan mengumpul derma boleh dijadikan pelaburan atau dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap. Institusi ini kemudiannya akan menggunakan hasil pelaburan atau faedah daripada bank untuk membiayai aktiviti mereka, manakala jumlah asal tidak diusik bagi memastikan institusi itu memiliki daya maju jangka panjang.

Begitu juga dengan individu yang menyimpan duit di dalam akaun bank atau membuat pelaburan dan hanya menggunakan hasil pulangan pelaburan dengan wang prinsipal kekal yang tidak disentuh,” kata Cheah.

Sejurus dilancarkan, dana endowmen ini akan mempelopori satu kaedah baru bagi Yayasan Jeffrey Cheah untuk mengembangkan sumbangannya dalam pembangunan negara, untuk jangka masa yang panjang, menerusi inisiatif di dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan lestari.

Tabung endowmen ini akan membolehkan yayasan antara lainnya, mewujudkan kerusi profesor di Sunway University, untuk jangka masa yang panjang.

Yayasan juga merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau untuk kecemerlangan di dalam pendidikan, penyelidikan dan penjagaan kesihatan, dengan menjadikan pendidikan berkualiti mampu dibayar dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang layak.

Sejak 10 tahun lalu, yayasan ini, yang memiliki dan mentadbir kesemua 16 institusi dan entiti di bawah naungan Sunway Education Group, dijangka akan mengagihkan hampir RM540 juta menjelang akhir tahun ini, dalam bentuk biasiswa dan geran.

Yayasan ini juga telah mengadakan program kerjasama dengan beberapa universiti berprestij dengan Sunway University. Ini termasuk University of Cambridge, Harvard University, University of Oxford dan juga University of California, Berkeley and MIT di Boston.

Inisiatif-inisiatif ini juga merangkumi penubuhan Pusat Penyelidikan Klinikal University of Cambridge, Pusat Penyampaian Kesihatan Global Harvard dan Pusat Jeffrey Sachs Mengenai Pembangunan Lestasi di Sunway City Kuala Lumpur. Yayasan berhasrat menubuhkan fakulti perubatan di Sunway University melalui kolaborasi dengan University of Cambridge School of Clinical Medicine sebagai perancangan masa hadapan.

“Semua kerjasama ini adalah seiring dengan pendirian kami untuk menjadi yang terbaik, kita harus bekerja dengan yang terbaik dan belajar daripada yang terbaik. Mereka juga mensasarkan untuk membawa pakar berkelas dunia ke Malaysia dan menambahbaik tahappengetahuan asas negara ini,” tambah Cheah.

Yayasan Jeffrey Cheah ditubuhkan pada tahun 2010 untuk menyumbang kepada pembinaan negara dengan menumpukan kepada pendidikan berkualiti, penyelidikan dan pembangunan lestari. Inisiatif dalam bidang kelestarian menerima dorongan besar apabila United Nations Sustainable Development Solutions Network memilih Sunway University, yang terletak di Sunway City Kuala Lumpur, sebagai salah satu daripada tiga pusatnya di dunia untuk melaksanakan agenda kelestarian di peringkat benua.

Pusat tersebut yang terletak di Sunway City akan memantau Asia bersama dengan New York City dan Paris, di mana masing-masingnya memantau benua Amerika; dan Eropah/Afrika. - DagangNews.com
 

aaa
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj (lima dari kanan) bersama Jeffrey Cheah dan anggota-anggota Lembaga Amanah Yayasan Jeffrey Cheah di Petaling Jaya, semalam.