Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Industri Kreatif - 25 March 2022

WUJUDKAN ZON BEBAS KANDUNGAN KREATIF DI MALAYSIA

 

 

 

KEBELAKANGAN ini saya beberapa kali menulis mengenai negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang membangunkan pelbagai zon bebas untuk pelbagai sektor, termasuklah industri media dan kandungan kreatif di negara mereka.

 

Di antara puluhan zon bebas yang dibangunkan oleh pemerintah wilayah di UAE, sektor media dan kandungan kreatif merupakan antara bidang yang paling banyak ditawarkan oleh zon-zon bebas berkenaan.

 

Ini pastinya adalah kerana kesedaran UAE terhadap potensi dan signifikan industri ini kepada ekonomi masa depan.

 

Kita dapat melihat bagaimana langkah itu telah memberikan impak besar dalam usaha menjadikan negara terbabit sebagai pusat industri kreatif di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

 

Penubuhan dan pelaksanaan zon bebas merupakan praktis normal di seluruh dunia sebagai usaha setiap negara dalam menggalakkan kegiatan ekonomi termasuk pelaburan di sesebuah negara dalam sektor-sektor tertentu.

 

Dalam konteks pelaksanaan di Malaysia, terdapat beberapa zon bebas yang meliputi Zon Perdagangan Bebas dan Zon Perindustrian Bebas.

 

Namun ia lebih berfokus kepada sektor perkilangan untuk pasaran eskport untuk Zon Perindustrian Bebas, serta kegiatan perniagaan, penggredan, memecah pukal, pembungkusan semula dan pelabelan bagi Zon Perdagangan Bebas.

 

Pelaksanaan zon bebas ini adalah dibawah bidang kuasa Menteri Kewangan, yang menurut Seksyen 3 (1) Akta Zon Bebas 1990 berkuasa melalui pemberitahuan dalam warta untuk mengishtiharkan mana-mana kawasan dalam Malaysia sebagai sebuah Zon Perdagangan Bebas atau Zon Perindustrian Bebas, dengan syarat ia mestilah turut mentakrif had-had zon tersebut.

 

FTZ

 

Akta berkenaan juga menjelaskan bahawa mana-mana pihak sama ada kerajaan dan swasta yang mahu membangunkan sekaligus menjadi pihak berkuasa zon bebas boleh memohon kepada pihak Perbendaharaan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan sokongan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri di negeri terbabit. Syarikat yang mahu beroperasi dalam zon bebas tersebut pula boleh memohon kepada Pihak Berkuasa Zon terbabit.

 

Berbeza dengan pelaksanaan zon bebas di UAE yang menawarkan pengecualian cukai penuh kepada pelabur dan entiti perniagaan termasuk cukai individu dan cukai korporat sepertimana syarikat lain yang berdaftar sebagai mainland company di sana, zon bebas di Malaysia hanya memberikan pengecualian kepada duti kastam, duti eksais, cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

 

Pelaksanaan pengecualian cukai tersebut boleh dirujuk dalam Seksyen 2(1A) Akta Kastam 1967, Seksyen 2(1) Akta Eksais 1976, Seksyen 2A Akta Cukai Jualan 1972 dan Seksyen 2A Akta Cukai Perkhidmatan 1975 yang mana kesemua seksyen tersebut menjelaskan bahawa zon bebas yang telah diwarta adalah disifatkan sebagai suatu tempat di luar Malaysia, sekaligus membawa maksud terkecuali daripada duti dan cukai berkenaan.

 

Bagaimanapun, pengecualian ini tidak termasuk kepada barangan dan perkhidmatan yang tersenarai dalam Perintah Zon Bebas (Pengecualian Barang-Barang dan Perkhidmatan) 1998.

 

Selain itu, beberapa kemudahan lain yang diberikan oleh UAE (mengikut wilayah) kepada syarikat yang berdaftar di zon bebas memberikan perbezaan yang jelas kepada pelaksanaan zon bebas di kedua-dua negara.

 

Bagaimanapun, saya percaya praktis dan amalan zon bebas di UAE berpotensi untuk dijadikan rujukan dalam usaha mewujudkan zon bebas kepada sektor kandungan kreatif di negara ini.

 

Meskipun tidak secara keseluruhan, beberapa kerangka dan mekanisme yang diguna pakai oleh UAE, khususnya yang dilihat praktikal - boleh dilaksanakan di Malaysia.
 

dubai

 

Saya melihat bahawa beberapa penyesuaian kepada zon bebas sedia ada di Malaysia melalui penambahbaikan dan rombakan Akta Zon Bebas 1990 boleh dimanfaatkan jika kita mahu untuk menjadikan zon bebas di Malaysia turut inklusif meliputi kegiatan dan aktiviti industri kreatif,  dalam membantu mempertingkatkan kadar pertumbuhan industri kreatif termasuklah kandungan kreatif di Malaysia.

 

Malah, insentif pengecualian atau pengurangan cukai korporat turut boleh diteroka dalam menggalakkan sektor ini untuk berkembang maju di negara ini. Selain itu, pelbagai mekanime lain turut boleh difikir bagi disesuaikan dalam kerangka Malaysia.

 

Sebagai contoh, penurunan kuasa dalam membangunkan kerangka zon bebas kepada kerajaan negeri mengikut acuan yang bersesuaian, dilihat berpotensi untuk memberikan ruang kepada beberapa negeri yang mempunyai agenda dan komitmen kepada sektor ini seperti Sarawak dan Johor bagi mereka menjayakan inisiatif zon bebas industri kreatif di negeri masing-masing.

 

Malah, beberapa wilayah ekonomi sedia ada yang menawarkan status pengecualian cukai seperti Koridor Raya Multimedia yang menawarkan MSC status company dan Iskandar Malaysia yang menawarkan IDR status company boleh diperkemaskan.

 

Malah mungkin boleh diberi kelonggaran syarat, khususnya bagi syarikat tempatan mahupun syarikat antarabangsa berskala SME dalam memanfaatkan segala insentif yang ditawarkan.

 

Jika dilihat sekarang, atas faktor kriteria sedia ada, kedua status wilayah ini hanya banyak dimanfaatkan syarikat berteraskan teknologi maklumat, berbanding syarikat industri kreatif dan pembangunan kandungan.

 

Meskipun kita memahami pentingnya skala pelaburan yang dibawa dalam mengukur kualiti dan impak pelaburan di wilayah tersebut, namun dalam ketika ekosistem kandungan kreatif di Malaysia yang masih merangkah dan bertatih, mungkin lebih baik kita membuka dan menggalak bagi meningkatkan kuantiti pelaburan berskala kecil dalam membina gelombang sektor ini berbanding terus menanti pelaburan berskala besar yang dilihat berkualiti dan berimpak, namun ia tak kunjung tiba.

 

fudzail

 

Bagaimanapun, usaha untuk menilai dan menggubal semula pelaksanaan ke arah mewujudkan zon bebas bagi kandungan kreatif pastinya memerlukan langkah awal yang digerakkan oleh pihak pentadbir dan pembikin polisi sektor industri kreatif di negara ini, khususnya dalam menjalankan advokasi sekaligus melobi pihak kerajaan termasuk Perbendaharaan Negara serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia  bagi melihat potensi pelaksanaan inisiatif ini.

 

Sebagai sektor yang dikenal pasti seluruh dunia sebagai penyumbang ekonomi signifikan di peringkat global, Malaysia perlu mengambil langkah untuk memastikan kita bukan sahaja tidak ketinggalan dalam sektor ini berbanding negara-negara jiran tetapi juga memaksimumkan potensi sektor ini untuk menjadi komponen penting dalam keseluruhan KDNK negara.

 

Hal ini sudah berjaya dibuktikan oleh negara seperti Korea Selatan, Jepun, malah negara jiran Indonesia dan Filipina.

 

Bagi menjayakan usaha ini, jalannya jauh. Namun kita berharap pihak pentadbir dan pembikin polisi dapat memulakan langkah pertama.  - DagangNews.com

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF

Portfolio Tags