WEF: Apa Penyelesaian Kepada Krisis Global? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 25 May 2022

Forum Ekonomi Dunia (WEF): Apa Penyelesaian Kepada Krisis Global?

 

 

 

KINI, tumpuan penganalisis ekonomi tertumpu kepada mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang sedang berlangsung di Davos, Switzerland pada 22 hingga 26 Mei 2022.

 

WEF kali ini bertemakan 'History at a turning point; government policies and business strategies’ turut mengangkat topik perang di Ukraine sebagai asas forum pada persidangan tahun ini. 

 

Selain itu pastinya WEF akan  membincangkan pelbagai isu strategik dan mencari penyelesaian bersama berkaitan perancangan dasar pelbagai pihak untuk menangani masalah ekonomi, alam sekitar, politik dan sosial terutamanya akibat pandemik COVID-19.

 

WEF merupakan platform terbaik untuk Malaysia menyampaikan suara kepimpinan negara dan juga rantau ASEAN dalam mengamalkan ekonomi yang terbuka, mampan dan memanfaatkan semua.

 

Semua penganalisis menunggu dan menanti apakah penyelesaian atau resolusi yang terbaik daripada WEF bagi menyelesaikan krisis global yang sedang berlaku?

 

Kenali WEF

Forum Ekonomi Dunia (WEF) ini ditubuhkan pada tahun 1971 oleh Klaus Schwab, seorang profesor perniagaan kelahiran Jerman di Universiti Geneva. Nama pertama yayasan ini ialah "Forum Pengurusan Eropah". Schwab menukar namanya kepada Forum Ekonomi Dunia pada tahun 1987 dan berusaha meluaskan visinya untuk menyertakan platform untuk menyelesaikan konflik antarabangsa.

 

Pada tahun 2017, Forum Ekonomi Dunia di Davos menarik perhatian ketika pertama kali, ketua negara dari China dijemput ke Resort Alpine. Dengan latar belakang Brexit, pemerintahan AS yang berpotensi masuk dan tekanan signifikan terhadap zon perdagangan bebas dan perjanjian perdagangan.

 

 

wef

 

 

Sejarah WEF pernah menyaksikan Presiden Xi Jinping mempertahankan skim ekonomi global, dan menggambarkan China sebagai negara yang bertanggungjawab pembangunan alam sekitar.

 

Beliau juga pernah menegur pergerakan semasa yang memperkenalkan tarif dan menghalang perdagangan global serta memberi amaran bahawa perlindungan seperti itu menyebabkan pengasingan dan mengurangkan peluang ekonomi.

 

Rusia “dipulau” dari WEF

WEF kali mencipta sejarah baharu apabila menyaksikan tiada delegasi Rusia dijemput buat kali pertama dalam sejarah lebih lima dekad penganjuran forum utama dunia itu.

 

Tiada jemputan diserahkan kepada mana-mana wakil Rusia susulan sekatan yang dikenakan terutama kepada negara kuasa nuklear itu.

 

Jika sebelum ini, Rusia merupakan negara ketiga dengan kehadiran jutawan paling ramai di WEF dan sentiasa menjadi antara wakil terpenting di forum berkenaan.

 

Namun WEF tahun ini tiada lagi kelibat Rusia!

 

Tengku Zafrul bawa “Suara Malaysia”

Negara diwakili oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang dijangka mengadakan beberapa sesi dua hala dan pelbagai hala bersama ketua-ketua negara asing dan syarikat swasta dari luar negara.

 

 

tengku zafrul

 

 

Tengku Zafrul turut dijadualkan berucap sebagai “speaker” dalam 4 sesi di WEF yang membawa “Suara Malaysia” . 4 sesi  yang menerangkan keadaan semasa ekonomi ialah:

 

  1. A Digital ASEAN for All-  memberi penerangan mengenai dasar, inisiatif dan hala tuju digitalisasi negara bagi meningkatkan keyakinan para pelabur terhadap Malaysia
  2. Taking the Long View -  memberi penerangan akan pencapaian Malaysia dalam melakar pelan jangka masa panjang negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 terutamanya dalam konteks COVID-19
  3. Global Risks in an Era of Turbulence- memberi penerangan akan usaha Malaysia dalam menangani risiko global jangka masa panjang; dan Bengkel
  4. Building Resilience: Financing Local Economies- berkongsi dan bertukar pandangan mengenai dasar, inisiatif dan bantuan Kerajaan dalam membina daya tahan ekonomi negara terutamanya sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meningkatkan keyakinan komuniti global terhadap Malaysia.

 

 

Kemunculan presiden Ukraine dalam ucaptama tarikan WEF kali ini

Kemunculan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menarik perhatian dunia apabila  menyampaikan ucaptama WEF kali ini secara maya.

 

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyeru sokongan dunia yang berterusan untuk menghadapi pencerobohan Rusia.

 

Ukraine memerlukan 5 hingga 7 bilion dolar sokongan bulanan ketika perang berterusan dan kira-kira 600 bilion bantuan pembinaan semula sebaik sahaja perang berakhir.

 

Selain itu, presiden Ukraine menuntut untuk menjalankan embargo minyak terhadap Rusia supaya perusahaan-perusahaan besar yang berada di Rusia akan “angkat kaki”.

 

 

Volodymyr Zelenskyy

 

 

Jika embargo minyak ini dilaksanakan, dilihat ia akan sedikit sebanyak memberi tekanan kepada Rusia. Ia bukan satu jaminan perang Rusia-Ukraine akan berakhir, tetapi setidak-tidaknya satu tekanan pula buat Rusia.

 

Kebimbangan Adena Friedman

Menarik perhatian WEF kali ini, apabila Presiden syarikat Bursa Saham NASDAQ, Adena Friedman yang agak bimbang dengan Rizab Amerika Syarikat yang berada pada keadaan yang “sukar” bagi mengawal inflasi.

 

Kini, semua negara di dunia mengalami masalah inflasi. Keadaan ini sukar untuk dipulihkan jika keyakinan pelabur terus goyah dan kekurangan pemahaman di kalangan pelabur untuk menyimpan portfolio pelaburan mereka,

 

Jika keyakinan pelabur terus menurun, tidak mustahil kemelesetan ekonomi akan terjadi!

 

 

Adena Friedman

 

 

Inflasi terburuk sejak 40 tahun buat Amerika Syarikat

Kadar inflasi di Amerika Syarikat melonjak sehingga 1.2% pada Mac lalu,  menjadi lonjakan terbesar yang pernah dicatatkan sejak Disember 1981. Ini paling terburuk yang pernah dicatatkan buat Amerika Syarikat.

 

Manakala Indeks Harga Pengguna (CPI) pula mencatatkan pertambahan sehingga 8.5%, naik lebih tinggi berbanding sewaktu Februari yang merekodkan 7.9%.

 

Kenaikan harga barangan keperluan seperti makanan, petrol dan perumahan itu didorong oleh sekatan daripada rantaian bekalan dan juga kesan daripada konflik Rusia dan Ukraine.

 

Serangan kejam dari Moscow telah mencetuskan sekatan meluas barat terhadap ekonomi Rusia dan ia telah mengganggu pasaran makanan dan tenaga global.

 

 

Jason Furman
Jason Furman

 

 

Dalam WEF yang sedang berlangsung, Jason Furman, Pakar Ekonomi Universiti Harvard, menyatakan kegusaran tentang berapa lama rakyat yang mampu bertahan dek kerana inflasi ini.

 

Dalam masa yang sama, pelarasan gaji tidak seimbang dan kenaikan gaji di belakang kenaikan harga barang.

 

Resolusi WEF untuk Malaysia bertindak

Walaupun WEF belum berakhir, banyak resolusi terbaik yang boleh Malaysia “gunakan” bagi membangunkan semula ekonomi negara.

 

Semua perbincangan dalam WEF boleh dijadikan panduan dan penilaian oleh oleh Malaysia serta negara lain di dunia membuat keputusan yang terbaik.

 

Berdasarkan WEF, Malaysia  perlu meletakkan tiga fokus utama mendepani cabaran era pasca pandemik meliputi keterangkuman, ekonomi digital dan kelestarian.

 

Isu utama dalam landskap global berkaitan gangguan rantaian makanan, perang Rusia-Ukraine dan peningkatan inflasi ini perlu diperhalusi dengan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan bagi menghadapi situasi ini.

 

 

wef

 

 

Negara boleh mengambil contoh amalan terbaik yang dilakukan oleh negara-negara membangun dan negara maju seperti yang dikongsikan dalam WEF kali ini.

 

Janganlah sekadar hadiri WEF, dengar kosong tanpa apa tindakan dan langkah yang terbaik dan sesuai untuk negara demi kelangsungan ekonomi dan rakyat!  - DagangNews.com

 

 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags