WCT Holdings Berhad diiktiraf syarikat terbaik pada Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2022 | DagangNews Skip to main content

WCT Holdings Berhad diiktiraf syarikat terbaik pada Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2022

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif WCT, Datuk Ab Wahab Bin Khalil (dua dari kanan) menerima anugerah syarikat terbaik pada Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2022, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Ogos -  WCT Holdings Berhad (WCT) sekali lagi telah dianugerahkan sebagai Anugerah Syarikat Terbaik di bawah kategori Kejuruteraan, Pembinaan dan Pembangunan Hartanah di Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2022 yang diadakan baru-baru ini.

 

Penghormatan itu sebagai pengiktirafan terhadap inisiatif sokongan komuniti WCT sebanyak RM2.8 juta sepanjang tahun kewangan 2021 (TK2021). 

 

WCT telah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama kementerian dan agensi mengambil bahagian program komuniti, seperti promosi kesihatan dan kesejahteraan, sokongan untuk usaha bantuan bencana, bantuan kepada bank makanan dan sumbangan kepada ahli kurang bernasib baik.

 

Timbalan Pengarah Urusan WCT Holdings Berhad, Peter Chow, berkata, anugerah itu adalah bukti usaha berterusan mereka membina komuniti di Malaysia. 

 

"Dalam mencipta dan mengagihkan nilai kepada pelbagai pihak berkepentingan, kami telah berjanji untuk memberikan sokongan kepada pelbagai program dan inisiatif komuniti di seluruh negara. 

 

"Diharapkan bahawa di sebalik usaha ini, interaksi kumpulan dengan masyarakat tempatan dapat mewujudkan hasil positif mampan yang memberikan manfaat bermakna dan berkekalan kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambahnya, WCT akan meneruskan usaha untuk menyepadukan matlamat pembangunan mampan dalam semua usaha ekonominya untuk memenuhi matlamat membina komuniti mampan dan berkembang maju. 

 

 

wct

 

 

"Sebagai sebuah kumpulan, tumpuan kami bukan sahaja berkisar pada memacu pertumbuhan ekonomi kolektif, tetapi kami juga berusaha untuk membina hubungan yang bermakna dengan komuniti kami serta menegakkan penjagaan alam sekitar," katanya.

 

Antara program di bawah inisiatif sokongan komunitinya, termasuk pengagihan bubur lambuk kepada masyarakat Klang dan majlis berbuka puasa bersama keluarga kurang berkemampuan sepanjang tempoh Ramadan.

 

 

wct

 

 

Inisiatif itu merentasi pelbagai bahagian perniagaan kumpulan termasuk hotel dan pusat beli-belah, Hotel Première di Klang, Paradigm Mall Petaling Jaya dan Johor Bahru adalah sejajar dengan matlamat kemampanan WCT untuk meningkatkan penghidupan dan menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG PBB).

 

Selain itu, kumpulan secara beransur-ansur mengurangkan penjanaan sisa melalui pencegahan, pengurangan, kitar semula dan penggunaan semula sepanjang operasi perniagaannya, menyokong sasaran 12.5 SDG 12 mengenai Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab. 

 

Kumpulan itu bekerjasama dengan Yayasan Tzu Chi (Malaysia) untuk mencapai matlamat kemampanannya untuk mengurangkan sisa sebanyak 10% menjelang 2026. - DagangNews.com