Waspada bahan Sibutramine dalam produk pelangsingan badan | DagangNews Skip to main content

Waspada bahan Sibutramine dalam produk pelangsingan badan

oleh ALIA SYAHNIM ISMAIL

SETIAP orang pasti menginginkan untuk kelihatan langsing dan menawan di khalayak ramai. Sesetengah mereka ada juga yang mengambil keputusan untuk mengamalkan produk pelangsingan badan yang murah dan menjanjikan hasil yang pantas dan cepat.

 

Namun persoalannya, adakah ia menjamin keberkesanan untuk menguruskan badan atau memudaratkan badan?

 

Peningkatan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia sangat membimbangkan kerana mereka tidak mengamalkan diet yang sihat dan tidak mengamalkan pengambilan nutrisi yang betul.

 

Namun kini, masyarakat mula sedar akan kepentingan menjaga kesihatan diri. Ini boleh dilihat melalui ‘trend’ penjualan pelbagai jenis produk minuman dan makanan pelangsingan badan di pasaran bagi tujuan kesihatan.

 

Kesedaran masyarakat tentang bahayanya obesiti menyebabkan mereka membuat keputusan untuk mengambil jalan yang singkat untuk kuruskan badan dengan mengambil produk pelangsingan badan supaya mendapat hasil yang cepat.

 

Produk pelangsingan badan merupakan perkara yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Malaysia, namun ramai yang tidak mengendahkan nasihat daripada pakar bahawa pengambilan produk pelangsingan badan merupakan perkara yang membahayakan diri.


 

parafrasa

 


Sibutramine

Bahan terlarang yang kebiasaannya ada di dalam produk pelangsingan badan atau produk pasaran “overclaim” ialah Sibutramine. 

 

Sibutramine berfungsi sebagai perencat selera makan di otak ataupun sebagai penyekat selera makan. Sesiapa yang mengambilnya akan berasa tidak lapar dan tidak mahu makan.

 

Penggunaan Sibutramine telah lama digunakan oleh pakar-pakar untuk merawat masalah berat badan. Tetapi pada tahun 2010, penggunaan bahan sibutramine telah diharamkan berikutan kebimbangan keselamatan yang serius terhadap pengguna di kebanyakan negara seperti Malaysia, Singapura, Amerika Syarikat dan banyak lagi.

 

Tambahan pula, masih ramai penjual yang mempromosikan produk pelangsingan badan yang tiada kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di laman sosial mereka seperti Facebook dan Instagram.

 

Terdapat juga pengusaha dan penjual produk yang tidak bertanggungjawab telah memasukkan bahan tidak sepatutnya ke dalam produk makanan dan minuman kesihatan bagi mengaut keuntungan yang lumayan.

  
 

parafrasa

 

Berikut merupakan senarai ubat kuat pelangsingan badan yang telah dikesan mengandungi bahan telarang:

  1. Obe XLIM – Sibutramine
  2. P57 Hoodia Cactus Slimming Capsule – Sibutramine
  3. Sehat Langsing Capsule – Sibutramine
  4. Slimina Weight Loss Capsule – Sibutramine
  5. Slimming untuk Pria dan Wanita Kapsul - Sibutramine
  6. Xiyouji Qingzhi 300mg Capsule – Sibutramine
  7. 7 Day Slim Capsule - Sibutramine
  8. Acai Berry ABC 500mg Soft Gel - Sibutramine
  9. Acai Berry Slimming Herbal Soft Gel - Sibutramine
  10.  Amberine Capsules - Sibutramine
  11. Botanical Gold Soft Gel- Sibutramine
  12. Dewi Pelangsing – Sibutramine
  13. GorgeouSlim Herbal - Sibutramine
  14.  Guar Gum Suplemen Serat Tinggi - Sibutramine
  15.  Kintop Capsule- Sibutramine
  16.  Lami or Lasmi Capsule- Sibutramine
  17. Langsing Alami Kapsul - Sibutramine
  18.  Langsing Alami (Lami) capsule- Sibutramine
  19. Lax-9 slimming milk (Banned by Food Division) – Sibutramine


 

parafrasa


 

Menerusi hasil kajian terhadap Sibutramine Cardiovascular Outcomr Study (SCOUT), didapati  bahawa kesan penggunaan bahan ini menyebabkan peningkatan risiko penyakit jantung dan strok.

 

Kesan sampingan yang lain adalah menyebabkan peningkatan kadar denyutan jantung, pening kepala, sakit dada atau tidak boleh tidur malam, rasa mual dan ada kes hingga ke tahap berhalusinasi. Penggunaan yang tidak terkawal boleh menyebabkan komplikasi serius sehingga meragut nyawa.

 

Walaubagaimanapun, testimoni yang menunjukkan kesan kurus yang pantas telah membuatkan pengguna terpedaya untuk membelinya.

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menasihatkan agar penipuan penjualan produk pelangsingan ini dihentikan kerana ia bukan tindakan yang betul.

 

Menurut pakar kesihatan, Dr. Ahmad Fakhrullah berkata, “tiada cara yang mudah untuk kuruskan badan atau menghilangkan berat badan berlebihan melainkan dengan menjaga pemakanan dan melakukan banyak senaman.”

 

Ujarnya lagi, walaupun diet yang sihat mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan hasil, tetapi ia tidak membahayakan diri atau menjejaskan kesihatan.

 

Oleh itu, pengguna tidak perlulah mudah terpedaya dengan iklan atau promosi yang berlebihan kerana kebanyakannya direka tanpa sebarang bukti saintifik.



 

parafrasa


 

Pengguna dinasihatkan membeli produk pelangsingan dari farmasi kerana kesemua produk tersebut telah mendapat kelulusan KKM dan halal.

 

Pengambilan produk yang mempunyai bahan yang diharamkan hendaklah dihentikan serta-merta kerana penggunaannya tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan buruk yang tidak diingini.

 

Natijahnya, sebagai pengguna perlulah bijak dalam memilih produk kecantikan yang berkualiti dan berkelulusan KKM supaya tidak mendatangkan kemudaratan pada diri sendiri. - DagangNews.com

 

 

ALIA SYAHNIM ISMAIL adalah pelajar Program Komunikasi Media Baharu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)