Wajarkah 'hukuman' BAM terhadap Zii Jia? | DagangNews Skip to main content

Wajarkah 'hukuman' BAM terhadap Zii Jia?

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jan - Keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk tidak mendaftarkan Lee Zii Jia ke kejohanan antarabangsa selama dua tahun bermula 18 Januari 2022 menerima kecaman daripada kebanyakan warga maya yang kecewa dengan tindakan itu.

 

Keputusan yang dilakukan BAM itu dibuat selepas Zii Jia yang juga pemain No.7 dunia yang menyuarakan hasrat meninggalkan skuad kebangsaan dan bergerak secara profesional atas alasan tidak tahan dengan tekanan gaya hidup di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

 

Namun dalam satu sidang media khas, Timbalan Presiden BAM 2, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos mendedahkan bahawa pemain berusia 23 tahun itu menetapkan syarat untuk mempunyai barisan kejurulatihan dan pasukan sokongan sendiri, merancang kejohanan yang mahu disertainya sendiri dan untuk mempunyai penaja sendiri sendainya mahu terus bersama badan induk itu.

 

Adakah tindakannya untuk bergerak secara profesional dan mencari penajaan sendiri salah atau tindakan menyekat langkah Zii Jia itu disebabkan BAM bimbang penajaan mereka daripada syarikat korporat akan berkurangan kerana ketiadaan pemain itu pada masa hadapan?

 

Mungkin juga BAM tidak berpuas hati kerana 'pelaburan' ke atas Zii Jia sejak sekian lama masih belum membuahkan hasil seperti yang diimpikan seperti Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang digugurkan daripada skuad kebangsaan selepas meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio pada 2016?

 

minton
Goh V Shem-Tan Wee Kiong digugurkan daripada skuad kebangsaan sebelum ini dan kemudian bergerak secara profesional.

 

Dalam sidang media itu juga, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menyatakan bahawa pemain seperti V Shem, Wee Kiong, Peng Soon dan Liu Ying sudah memberikan 'sumbangan yang cukup' kepada negara dan mereka sudah berada pada hujung karier ketika bergerak secara profesional.

 

Perkara ini memperlihatkan bahawa BAM tidak konsisten dalam membuat keputusan dalam mengenakan tindakan kepada pemain, sebagai contoh Tan Kian Meng meninggalkan kem kebangsaan selepas badan induk itu menggugurkan enam pemain termasuk pasangan beregu campurannya, Lai Pei Jing pada Februari tahun lalu.

 

Namun Kian Meng bebas menyertai kejohanan antarabangsa selaku pemain bebas sama seperti ketika dia berada dalam kem kebangsaan dan adakah dia sudah memberikan sumbangan yang cukup kepada negara? 

 

minton
Tan Kian Meng (hadapan) meninggalkan skuad kebangsaan pada Februari 2021 namun tiada sebarang tindakan oleh BAM.

 

Bagaimanapun tindakan yang dibuat BAM ini dilihat bakal mendatangkan kerugian kepada Malaysia kerana bakal kehilangan seorang pemain yang dikatakan bakal menjadi pengganti kepada Datuk Lee Chong Wei dan 'hukuman' yang dikenakan bakal menamatkan karier pemain muda ini.

 

Sehingga kini belum ada seorang pemain pun yang mampu bangkit selepas menjalani 'hukuman' seperti itu melainkan Kento Momota yang berjaya menjadi juara dunia selepas digantung oleh Persatuan Badminton Jepun kerana kesalahan berjudi dan bukan kerana ingin bergerak secara profesional seperti yang berlaku di Malaysia.

 

minton
Kento Momota pernah digantung kerana kesalahan berjudi sebelum Sukan Olimpik Rio 2016.

 

Sebelum ini BAM pernah menyuarakan bahawa pemain profesional juga memberikan sumbangan yang signifikan negara dengan bertindak menjadi 'enjin' kedua kepada pembangunan badminton negara seperti Indonesia dan Denmark, malahan Viktor Axelsen juga bergerak secara profesional dan berjaya menjadi juara dunia selain memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

 

minton
Viktor Axelsen menyokong tindakan Lee Zii Jia untuk meneruskan kariernya selaku pemain profesional.

 

Apa yang dirisaukan ketika ini adalah seandainya Zii Jia mengambil keputusan untuk tidak membuat rayuan di atas tindakan BAM itu dan memilih untuk menyertai negara lain yang sanggup memenuhi impiannya seperti Singapura atau Amerika Syarikat yang menjadi destinasi juara Olimpik, Tony Gunawan dari Indonesia suatu ketika dahulu.

 

minton
Tony Gunawan pernah menjadi Juara Badminton Dunia ketika mewakili Amerika Syarikat pada 2005.

 

Dalam keadaan tertekan seperti ini, terdapat kemungkinan besar Zii Jia akan menyarung jersi kebangsaan Singapura bersama juara dunia yang baharu, Loh Kean Yew? Tidak dapat dibayangkan jika Zii Jia terlepas ke tangan Singapura.

 

minton
Loh Kean Yew dari Singapura menjadi tumpuan selepas menjadi Juara Badminton Dunia, baru-baru ini.

 

Sebelum ini, Singapura pernah memberikan tawaran lumayan termasuk pendidikan, biasiswa serta rumah kepada bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei untuk bersama mereka. Namun kini, Jin Wei turut mengalami nasib sama seperti Zii Jia apabila berdepan 'hukuman' sama.

 

minton
Singapura pernah membuat tawaran untuk Goh Jin Wei mewakili negara itu.

 

Tindakan Zii Jia untuk mengembangkan karier selaku pemain profesional tidak seharusnya dihalang kerana ia boleh dijadikan sebagai saingan yang sihat kepada badan induk nasional negara dalam mengembangkan lebih ramai bakat muda pada masa akan datang. - DagangNews.com