Janji Pilihan Raya Anwar kepada rakyat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 18 July 2023

Janji Pilihan Raya Anwar kepada rakyat

 

 

 

SEMUA sudah tahu bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlangsung pada 12 Ogos ini bagi enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

 

Pastinya PRN ini amat penting kerana ia merupakan gambaran sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.  Kerajaan Perpaduan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ini masih belum boleh “mendabik dada” walaupun telah mendapat mandat menjadi kerajaan.

 

PRN kali ini pastinya menarik kerana setelah sekian lama BN menentang PH dan sebaliknya tetapi dalam PRN kali ini PH dan BN akan bekerjasama. Pelik bukan?


 

parafrasa

 


Kayu ukur pengundi Melayu

PRN juga dilihat sebagai kayu ukur pengundi Melayu kepada Kerajaan Perpaduan. Ia bukan satu tugas mudah bagi BN dan UMNO yang mahu menawan semula sokongan pengundi Melayu selepas BN bekerjasama dengan PH yang sebelum ini menjadi “musuh” utama.

 

Jumlah pengundi yang mengundi BN pada PRN Ogos ini yang akan menjadi penentu untuk melihat bagaimana landskap politik di Malaysia selepas ini.

 

Khabar angin gulingkan Kerajaan Perpaduan selepas PRN

Banyak desas-desus yang menyatakan ada cubaan dari beberapa pihak yang  mahu menggulingkan Kerajaan Perpaduan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN). Khabar angin ini menyatakan pentadbiran Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kepimpinan yang “lemah” dan wajar digulingkan.

 

Sentimen sebegini adalah tidak baik dan boleh mengancam politik negara. Politik yang tidak stabil akan mengheret kepada ketidakstabilan ekonomi juga.  Bagilah ruang dan peluang untuk Anwar  menjalankan peranannya untuk terus mentadbir negara.

 

Namun begitu, kerisauan telah ada. Ini kerana sejarah kerajaan “pintu belakang” atau “kerajaan tebuk atap” pernah berlaku sebelum ini.

 

Anwar perlu segera pulihkan ekonomi

Untuk mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat, Anwar perlu segera pulihkan ekonomi. Ini adalah langkah yang baik berbanding “bertikam lidah” dengan pembangkang demi mendapat sokongan rakyat dalam PRN Ogos ini.

 

Jika ekonomi mampu dipulihkan secara berperingkat dan kos sara hidup mampu dikurangkan, pastinya rakyat akan yakin dengan kepimpinan Anwar dan Kerajaan Perpaduan.


 

volatiliti

 


Perkasa ekonomi Madani

Anwar dan kerajaan perlu segera mengambil pendekatan baharu memperkasa ekonomi Madani berteraskan kepada dua sasaran iaitu pertama, menjadikan Malaysia peneraju ekonomi Asia, dan kedua, memastikan kehidupan rakyat yang berkualiti.

 

Dalam situasi semasa, kedua-dua strategi ini amat penting bagi membangunkan semula ekonomi negara di samping memastikan kehidupan rakyat yang berkualiti.

 

Jika kedua-dua teras ini mampu dilaksanakan dengan baik oleh Anwar, sedikit sebanyak rakyat akan “mempercayai dan menghargai” usaha beliau.

 

Senario kini adalah berbeza kerana rakyat sudah boleh menilai dengan baik tanpa dimomok-momokkan dengan politik kolot yang sudah tidak relevan. Jika bagus, rakyat akan akui bagus dan sebaliknya.

 

Malaysia peneraju ekonomi Asia

Anwar dan Kerajaan Perpaduan perlu meletakkan sasaran Malaysia untuk menjadi peneraju ekonomi Asia dalam proses membangunkan semula ekonomi Malaysia. 

 

Apa yang Anwar perlu dan Kerajaan Perpaduan  perlu lakukan ialah memastikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bertaraf global dan membangunkan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) menjadi perusahaan bukan sahaja di Malaysia malah serantau.

 

PMKS di Malaysia yang boleh banyak membantu membangunkan semula ekonomi negara seharusnya bergerak dengan lebih besar dan luas. Jika Kerajaan Perpaduan mampu membangunkan PMKS negara menjadi PMKS serantau pastinya akan membawa limpahan ekonomi yang baik kepada rakyat Malaysia.


 

parafrasa

 


Kehidupan berkualiti rakyat perlu jadi agenda utama

Jika Anwar mahukan rakyat terus menyokong beliau, Anwar perlu mengambil serius dalam meletakkan sasaran bagi memberi kehidupan rakyat yang berkualiti. 

 

Apa yang perlu diberi penekanan oleh Anwar ialah mengutamakan kesejahteraan rakyat  dengan memastikan setiap rakyat mempunyai pekerjaan dan gaji yang setimpal, peluang yang adil dan saksama bagi setiap rakyat dan pelindungan sosial yang menyeluruh.

 

Jika perkara ini mampu disegerakan oleh Anwar, pasti rakyat akan berasa lega dan sokongan rakyat boleh dizahirkan melalui PRN Ogos ini. Namun begitu, jika sebaliknya Anwar perlu lebih berhati-hati jika keputusan PRN Negeri tidak berpihak kepada PH-BN.

 

Manifesto PRN Anwar kepada rakyat

Menjelang PRN Ogos ini, pastinya setiap kem akan membawa manifesto kepada rakyat. Anwar telah mengumumkan beberapa janji-janji kepada rakyat bagi memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Antaranya:

 

1. Menambah peruntukan untuk pelaksanaan projek kecil di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebanyak RM100 juta.

2. Menambah peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah sebanyak RM600 juta

3. Penyaluran sebahagian peruntukan penyelenggaraan kepada Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) bagi melaksanakan projek penyelenggaraan kecil di sekolah kerajaan.

4. Sebanyak 35,000 peluang pekerjaan disediakan oleh GLC pada 2023 yang akan mengambil lepasan TVET untuk bekerja.

5. Kementerian Kewangan menetapkan secara dasar supaya semua syarikat GLC yang mengambil pelajar yang menjalani praktikal/ latihan industri untuk membayar elaun minimum RM800.

6. Bank Simpanan Nasional (BSN) lancarkan Program Geran Padanan Pendigitalan PMKS dengan peruntukan RM100 juta pada Ogos 2023.

7. Sebagai tambahan kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR), lebih 200,000 penerima STR yang berdaftar sebagai miskin tegar berdasarkan data e-kasih turut menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mulai 17 Julai 2023 berjumlah RM600.

8. Kerajaan bersetuju untuk meluaskan pelaksanaan Skim Perubatan Madani ke-7 negeri lagi untuk membantu golongan B40 mendapatkan rawatan di klinik dan pengamalan perubatan am swasta.

 

Jangan “gula-gulakan” rakyat

Apa yang diharapkan agar janji-janji ini sekadar strategi politik semata-mata. Rakyat sudah muak dengan janji-janji politik yang akhirnya tinggal janji tanpa ditunaikan.

 

Jika Anwar dan Kerajaan Perpaduan mahu untuk menguasai PRN Ogos ini, Anwar perlu tampil dengan strategi yang benar-benar relevan dan praktikal untuk dilaksanakan.


 

parafrasa

 


Menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat perlu menjadi “senjata utama” kempen PRN Ogos ini.

 

Jika ini gagal dibuktikan, tidak mustahil rakyat akan ucapkan “hai-hai, bye-bye” kepada Kerajaan Perpaduan PH-BN! - DagangNews.com

 
 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

                    

Portfolio Tags