Dividen luar biasa KWSP ketika sebegitu banyak keluaran COVID-19 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 9 March 2022

Dividen luar biasa KWSP ketika sebegitu banyak pengeluaran semasa COVID-19

 

 

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.10% bagi simpanan konvensional dan 5.65% bagi simpanan syariah.

 

Jumlah dividen bagi simpanan konvensional yang akan diagihkan kepada pencarum sebanyak RM 50.45 bilion sementara bagi simpanan syariah sebanyak RM 6.27 bilion.


 

KWSP

 


Adakah kadar dividen ini kadar yang baik?

Seperti yang kita sedia maklum, akibat pandemik COVID-19 telah menyebabkan semua prestasi syarikat atau pelaburan jatuh.

 

Prestasi KWSP juga mengalami nasib yang sama. Namun begitu, pengumuman dividen KWSP ini telah menarik nafas lega bagi pencarum dengan peningkatan sebanyak 0.9% bagi simpanan konvensional dan 0.75% bagi simpanan syariah berbanding tahun 2020.

 

KWSP

 

Kenali KWSP

KWSP merupakan antara tabung simpanan persaraan tertua dan yang terbesar di dunia. Ditubuhkan pada 1951, KWSP membantu tenaga kerja Malaysia menabung untuk persaraan mereka selaras dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

 

Misi KWSP untuk kekal relevan bagi mencipta persaraan yang lebih baik dan melindungi simpanan ahlinya.

 

Sehingga Disember 2020, KWSP mempunyai 14,887,998 jumlah ahli berdaftar dan 7,591,053 ahli aktif. Jumlah caruman pula sebanyak RM 78.41 bilion caruman daripada ahli dan majikan.

 

Dengan jumlah ahli yang begitu ramai pastinya, KWSP mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap semua ahlinya.

 

3 skim pengeluaran i semasa COVID-19

Pandemik COVID-19 menyebabkan KWSP menghadapi cabaran kecairan.  Kerajaan Malaysia yang ingin membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik demi kelangsungan mengambil inisiatif membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan KWSP mereka.

 

Skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada tahun 2020 dan disusuli dengan i-Citra pada Julai 2021 adalah bersifat luar biasa kerana inisiatif ini telah diperkenalkan semata-mata untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak kerana pandemik dan kelembapan ekonomi.

 

KWSP terpaksa menghadapi cabaran kecairan sebanyak RM101 bilion melalui pengeluaran oleh pencarum  bawah 3 skim pengeluaran ini.

 

Kecairan RM101 bilion ini satu jumlah yg sangat besar dalam jangka masa singkat.

 

KWSP

 

Di mana KWSP nak cari duit?

Kita perlu faham, walaupun pekerja dan majikan mencarum duit mereka di KWSP, duit itu bukan disimpan “statik”. Nak pakai keluarkan begitu sahaja. Bukan begitu. Duit yang dicarum oleh pekerja dan majikan dilaburkan melalui kelas aset yang tertentu.

 

Untuk mendapatkan kecairan pelaburan yang segera dengan jumlah yang besar ini bukan boleh mudah.

 

Ia bukan magik!

 

Konsep pelaburan mempunyai kaedah dan terma tertentu seperti kadar pulangan, tempoh matang, kadar risiko dan lain-lain.

 

Membawa balik dana pelaburan asing

Bagi menampung kecairan yang perlu dilakukan oleh KWSP sejumlah  RM101 bilion ini, KWSP telah membawa balik pelaburan asing berjumlah RM22 bilion.

 

Pelaburan asing yang dibawa balik oleh KWSP ini adalah daripada pelaburan beberapa tahun lalu yang dibuat oleh KWSP dan pelaburan ini  belum mencapai tempoh matang bagi mendapatkan pulangan yang disasarkan.

 

Walaupun ia pelaburan yang “belum menguntungkan”, mahu tidak mahu KWSP terpaksa berbuat demikian bagi menampung kecairan semasa dan pelaksanaan ini telah mengurangkan kadar statutori KWSP.

 

KWSP perlu imbangi semula portfolio pelaburan

Setelah menghadapi kecairan yang banyak ini, KWSP perlu mengimbangi semula pelaburannya.

 

Dengan strategi diversifikasi portfolio,  KWSP boleh mendapatkan  pulangan yang  maksimum dalam lingkungan had risiko yang boleh diterima bagi kelestarian organisasi ini untuk  berdaya tahan dalam menghadapi persekitaran pasaran dan ekonomi pasca pandemik ini.

 

 

KWSP

 

 

Perkukuhkan  Alokasi Aset Strategik (SAA)

Bagi memastikan KWSP untuk mencatatkan prestasi yang lebih baik, KWSP perlu untuk memperkukuhkan SAA bagi memastikan prestasi kewangan yang stabil dalam keadaan ekonomi yang masih di luar jangkaan walaupun sedang dalam proses pemulihan ini.

 

Terdahulu, KWSP mempunyai pembahagian kelas aset terbesar melalui instrumen pendapatan tetap sebanyak 45%, pelaburan ekuiti sebanyak 44%, hartanah dan infrastruktur sebanyak 6% dan instrumen pasaran wang sebanyak 5%.

 

SAA boleh dinilai semua dengan menyemak prestasi setiap kelas aset bagi tahun 2021 dan menganalisis kelas aset yang boleh membawa KWSP untuk mendapatkan keuntungan yang lebih baik bagi tahun 2022 dan masa depan.

 

Pasaran ekuiti luar negara boleh diberi perhatian

Pastinya pendekatan kepelbagaian portfolio berdasarkan SAA adalah satu langkah yang paling tepat untuk memperoleh  keuntungan yang baik dan mengurangkan risiko KWSP.

 

Bagi pelaburan tahun 2022 ini, pelaburan ekuiti luar negara boleh diberi perhatian untuk dalam pelaburan KWSP.

 

Terdahulu, bagi tahun 2021 pelaburan ekuiti tersenarai luar negara KWSP  telah  merekodkan pulangan pelaburan (ROI ) sebanyak 10.44% dan ia menjadi penyumbang pulangan utama kepada pendapatan KWSP.

 

Daripada jumlah pulangan ekuiti luar negara ini, membawa kepada jumlah pendapatan bagi kelas aset Ekuiti adalah sebanyak RM38.93 bilion atau 58% daripada keseluruhan pendapatan kasar KWSP. 

 

Setelah menyumbang hampir 60% kepada pendapatan KWSP, pasaran ekuiti boleh diberi perhatian dalam pelaburan KWSP bagi memastikan prestasi kewangan yang stabil dan situasi ekonomi yang tidak dijangka ini.

 

 

KWSP

 

 

Pelaburan Pendapatan Tetap demi negara

Hampir 45% peruntukan aset KWSP kepada instrumen pendapatan tetap yang dilihat sebagai satu pelaburan yang “demi negara”.

 

Pelaburan instrumen pendapatan tetap ini merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf serta pinjaman.

 

Walaupun pelaburan pendapatan tetap ini dianggap pelaburan “demi negara” ia tetap memberi pulangan yang agak baik kepada pendapatan KWSP.

 

Berdasarkan rekod, tahun 2021 yang lalu, pelaburan pendapatan tetap ini telah menyumbang sebanyak  RM19.50 bilion  atau 29% daripada jumlah pendapatan kasar KWSP.  Ia tetap satu pelaburan yang baik bagi KWSP dan bukan hanya sebagai pelaburan “demi negara” semata-mata.

 

Kekalkan pelaburan hartanah dan infrastruktur sebagai pelindung nilai

KWSP juga perlu meneruskan pelaburan dalam hartanah dan infrastruktur kerana pelaburan ini sebagai pelindung nilai kepada KWSP.

 

Walaupun jumlah kelas aset yang diperuntukkan masih kecil oleh KWSP, pelaburan ini perlu dikekalkan.

 

Pendapatan portfolio hartanah dan infrastruktur sebanyak RM7.69 bilion pada tahun 2021 yang lalu dilihat sebagai pelindung nilai  yang baik terhadap inflasi dengan pulangan pelaburan sebanyak 6.53%

 

Walaupun jumlah pelaburan KWSP ini kecil jumlahnya, sekadar 5% dan 6%, tetapi  pulangannya 1.84% melebihi pulangan pelaburan instrumen Pendapatan Tetap sebanyak 4.69%.

 

 

KWSP

 

 

Kebimbangan kepada dana persaraan

Dalam usaha KWSP mengatur strategi mengukuhkan pelaburannya, isu kecukupan dana persaraan terus menjadi persoalan.

 

Dengan pengeluaran 3 skim ini, terdapat ahli KWSP terutamanya golongan berpendapatan rendah, tabungan KWSP mereka kurang daripada RM 20,000.

 

Dijangkakan ahli KWSP akan mengeluarkan simpanan persaraan mereka pada usia 55 tahun dan secara purata jangka hayat rakyat Malaysia sehingga 75 tahun.

 

Maka mereka perlu memiliki simpanan yang cukup untuk sekurang-kurangnya 20 tahun lagi untuk kelangsungan hidup.

 

Jika purata simpanan ahli KWSP di bawah 55 tahun mempunyai RM 20,000, hanya RM84 sebulan akan diterima bagi tempoh persaraan mereka setiap bulan. Jumlah ini satu angka yang rendah dan membimbangkan!

 

Inisiatif KWSP bangunkan semula simpanan persaraan

KWSP akan mengambil langkah membangunkan semula simpanan persaraan ahli dengan membina simpanan Akaun 1 ahli kembali ke paras pra-pandemik dengan 100% sumbangan bulanan dimasukkan ke dalam Akaun 1 sehingga kembali pulih.

 

KWSP juga akan memperkenalkan dua produk baharu tahun ini iaitu i-Lindung dan i-Sayang.

 

Dengan produk baharu ini membolehkan ahli  KWSP membuat pengeluaran Akaun 2 untuk membeli insurans hayat dan polisi penyakit kritikal.

 

 

KWSP

 

 

Pemulihan ekonomi dan pembukaan sepadan

KWSP yakin di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negara dan pembukaan sepadan sebagai satu landasan yang baik meningkatkan kecekapan pelaburan dan memanfaatkan peluang daripada inisiatif pemulihan.

 

Pembukaan semula sempadan antarabangsa serta kadar vaksinasi di Malaysia yang antara yang terbaik di dunia akan membawa proses pemulihan ekonomi dan  bakal memulihkan pasaran kerja dan membolehkan pekerja mencarum semula bagi persediaan persaraan mereka. - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags