Skip to main content

Vale umum penggunaan teknologi pemunggah muatan kapal automasi pertama Asia di Teluk Rubiah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Sept - Syarikat perlombongan terkemuka dunia, Vale mengumumkan penggunaan pemunggah kapal berautomasi di Terminal Maritim Teluk Rubiah (TRMT) pertama untuk syarikat itu di peringkat global, dan yang pertama seumpamanya di Asia. 

 

Teknologi automasi ini dijangka akan digunakan untuk menggerakkan 85% muatan bijih besi Vale di TRMT dan membolehkan syarikat mencapai tahap kestabilan operasi serta produktiviti lebih tinggi, selain menjimatkan kos dalam jangka masa panjang.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Vale di Malaysia, Rodrigo Ribeiro de Araújo, pelaksanaan pemunggah kapal berautomasi itu membolehkan Vale mengurangkan risiko kepada operasi mereka, dan memperkukuhkan kedudukan TRMT sebagai pelabuhan yang selamat serta boleh dipercayai. 

 

"Ini selaras dengan strategi global Vale untuk menjadi salah satu syarikat perlombongan paling selamat dan boleh dipercayai di dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah Rodrigo, mereka berbangga memperkenalkan teknologi itu di Manjung, pertama kali teknologi seumpamanya digunakan di mana-mana lokasi operasi Vale sedunia.

 

"TRMT dikendalikan kebanyakan tenaga kerja Malaysia, dengan sokongan daripada pakar teknikal dari pelbagai negara, termasuk Brazil. 

 

"Kami berharap usaha kami memperkenalkan pelbagai inovasi dalam aspek automasi di TRMT ini, serta inisiatif perkongsian pengetahuan yang membabitkan profesional tempatan, mampu membantu negeri Perak mendepani fasa evolusi ekonomi IR4.0 dengan jayanya.

 

“Kami juga mengharapkan lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan penyedia teknologi tempatan dan antarabangsa dalam memperkenalkan penyelesaian inovatif yang boleh menyokong peranan TRMT sebagai komponen penting dalam strategi Vale di Asia, pasaran bijih besi terbesar dunia," katanya.

 

Teknologi pemunggah kapal berautomasi itu direka untuk menangani pelbagai cabaran yang dihadapi pekerja, termasuklah keletihan, risiko kerosakan mesin dan kelewatan di TRMT. 

 

Pemunggah itu juga disesuaikan untuk mengendalikan Valemax, yang merupakan antara kapal pengangkut pukal terbesar dan paling cekap di dunia.

 

Dengan rekaan kapasiti yang mampu mengendalikan sehingga 30 juta tan bijih besi, TRMT ialah pelaburan langsung asing (FDI) tunggal terbesar di negeri Perak. Terminal itu dikendalikan tenaga kerja yang terdiri daripada 97% rakyat Malaysia, yang mana lebih 60% berasal dari daerah Manjung. 

 

Pelaksanaan pemunggah kapal berautomasi dalam operasi Vale dijayakan melalui kerjasama Vale bersama rakan-rakan kongsi tempatan dan antarabangsa termasuklah iSAM dari Jerman, Meinhardt EPCM dan Everconsult Sdn Bhd. - DagangNews.com