Vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak: Selamatkah? | DagangNews Skip to main content

Vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak: Selamatkah?

Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) di SJKC Chung Hwa 2, Pulau Pinang pada 14 dan 15 Februari 2022. - Gambar Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang
Oleh Dr Lim Yin Sear dan Dr. Noor Hafiza Noordin

KLUSTER COVID-19 berkaitan sekolah telah mencatat peningkatan besar di Malaysia sejak pembukaan sekolah, terutama akibat penularan varian paling terbaharu Omicron.

 

Kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang simptom, tetapi mereka boleh dengan mudah menjangkiti virus itu kepada orang lain, termasuk mereka yang berpenyakit serius dan berisiko tinggi.

 

Menurut CovidNow, kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun merupakan 10%s daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dan dijangka insiden bagi kanak-kanak akan meningkat lagi.

 

Susulan langkah vaksinasi bagi orang dewasa dan remaja, Malaysia telah memulakan program serupa bagi kanak-kanak.

 

Banyak negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Austria, Belgium, Hungary, Greece, Singapura dan Indonesia telah memulakan vaksinasi untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun pada penghujung 2021.

 

Ramai ibu bapa di Malaysia bimbang mengenai keselamatan profil vaksin Pfizer-BioNTech vaccine terhadap kanak-kanak dan berikut adalah dapatan-dapatan kajian mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin bagi kumpulan usia ini.

 

Di dalam ujian klinikal yang diberi perakuan, seperti dilaporkan oleh CDC USA, vaksin COVID-19  Pfizer-BioNTech telah disuntik kepada seramai 3,109 kanak-kanak berusia 5–11 tahun; keadaan paling buruk hanyalah berupa ringan kepada sederhana, dan tiada keadaan buruk yang serius berkait dengan vaksinasi dilaporkan.

 

 

KKM
Dr Lim Yin Sear merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perubatan Taylor’s University, dan Dr. Noor Hafiza Noordin adalah Ketua Jabatan Paediatrik, Hospital Banting

 

 

CDC menilai semula keadaan buruk selepas menerima laporan penerimaan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dikemukakan kepada Vaccine Adverse Event Reporting System (VAERS), bagi tempoh 3 November 3–19 Disember 2021.

 

Sebanyak 8.7 juta dos vaksin telah diberikan kepada kanak-kanak berusia 5-11 tahun dalam tempoh tersebut; VAERS menerima 4,249 aduan keadaan buruk selepas vaksinasi kumpulan usia ini, dan 97.6% daripada bukan serius.

 

 

KKM

 

 

Myocarditis

Terdapat juga kebimbangan terhadap kes myocarditis dan pericarditis berikutan suntikan vaksin mRNA.

 

Myocarditis adalah keadaan serius tetapi jarang berlaku yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19 berasaskan mRNA; kadar laporan bagi myocarditis berkait dengan vaksin nampaknya tinggi dalam kalangan lelaki berusia 12-29 tahun.

 

Sehingga kini, myocarditis dalam kalangan kanak-kanak berusia 5–11 tahun kelihatannya amat jarang dengan hanya 11 kes di dalam 8.7 juta. 

 

Myocarditis sudah dilapor lama sebelum wujudnya pandemik COVID-19. Ia boleh berlaku apabila virus, seperti demam biasa, influenza atau akibat SARS-CoV-2 (virus yang menyebabkan COVID-19) menjangkiti badan.

 

Untungnya, kajian-kajian semasa menunjukkan myocarditis pasca berkaitan vaksin lazimnya lebih ringan berbanding myocarditis klasik yang disebabkan jangkitan viral, dengan simptom berlaku dalam tempoh masa lebih pendek dan biasanya berakhir dengan rawatan perubatan minimum, jika pun diperlukan sama sekali.

 

Di dalam ujian rambang terkawal yang disiarkan baru-baru ini ke atas vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak dan remaja, para penyiasat melaporkan bahawa vaksin itu mencapai lebih 90% pengurangan di dalam risiko dijangkiti COVID-19 bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun selain remaja, tanpa kesan buruk serius seperti myocarditis yang dipantau dalam tempoh kajian tersebut.

 

Bagaimanapun, kesan ringan seperti bekas tempat suntikan, lesu dan pening kepala dilaporkan. Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berusia 5-11 tahun yang divaksinasi dengan vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 telah dimaklumkan mengenai reaksi seumpamanya selepas vaksinasi, berkemungkinan besar selepas dos kedua.

 

Ibu bapa seharusnya menasihatkan anak-anak untuk mengelak daripada melakukan kerja berat dua hari sebelum dan sehingga dua minggu selepas vaksinasi.

 

 

KKM

 

 

Imuniti Kelompok

Ada ibu bapa tidak mahu vaksinasi ke atas anak-anak mereka dengan harapan bergantung kepada imuniti berkelompok. Lazimnya, imuniti berkelompok dicapai apabila 80% populasi telah diimunisasi daripada jangkitan.

 

Tetapi tidak sama dengan COVID-19, terutama varian baharu Omicron, anggarannya adalah lebih tinggi.

 

Kita berkemungkinan besar memerlukan lebih daripada 95% populasi diimunisasi sepenuhnya untuk mencapai tahap perlindungan yang sama untuk imuniti kelompok (4). Pada masa ini, populasi kita yang sudah diimunisasi berada di paras 79%.

 

Imuniti kelompok juga merupakan fenomena dinamik yang bergantung kepada pergerakan kelompok.

 

Katakan sebuah keluarga memiliki lima orang dewasa dan satu kanak-kanak, dan semua orang dewasa itu sudah diimunisasi, maka bolehlah dikatakan bahawa keluarga tersebut sudah ada iminiti kelompok – dengan syarat keluarga itu tinggal di dalam satu rumah pada satu masa, dan kanak-kanak itu tidak meluangkan masa di luar.

 

Jika anak itu pergi ke sekolah, majoriti populasinya adalah kanak-kanak. Jika semua kanak-kanak yang tidak diimunisasi berkumpul di situ, tidak wujud imuniti kelompok.

 

Bahaya bergantung kepada imuniti kelompok ialah jika ramai ibu bapa memutuskan untuk tidak mengimunisasi anak mereka, maka pastinya tidak wujud keadaan hanya beberapa sahaja yang memilih untuk tidak diimunisasi dan ini akan mendatangkan bahaya besar bagi tahap umum imuniti dalam kalangan kanak-kanak.

 

Fenomena semasa keadaan tidak sihat yang ringan apabila seseorang itu terkena jangkitan varian Omicron adalah hasil daripada imuniti yang didorong oleh vaksinasi.

 

Keadaan tidak sihat itu pastinya akan menjadi lebih serius ke seluruh populasi jika kita tidak divaksinasi.

 

Ada yang percaya bahawa kita patut merawat Omicron seperti demam biasa tetapi kami ingin menasihatkan supaya kita tidak terburu-buru dalam hal ini. Harus terus berwaspada.

 

 

KKM
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Batu Pahat Mall yang juga menjadi lokasi PICKids.

 

 

Vaksinasi paling berkesan

Vaksinasi adalah masih kaedah paling berkesan untuk mengelak jangkitan COVID-19 dan komplikasi lebih serius, termasuk kemungkinan mengurangkan jangkitan di rumah dan di sekolah, bagi menjaga orang yang mudah dijangkiti dan mewujudkan persekitaran pembelajaran secara bersemuka yang lebih selamat.

 

Tanpa vaksin COVID-19 yang berkesan bagi kumpulan usia ini, kanak-kanak boleh berpotensi menjadi takungan jangkitan dan sumber kepada varian baharu yang akan muncul nanti.

 

Vaksinasi besar-besaran ke seluruh kumpulan usia adalah penting dalam usaha berterusan mengekang pandemik ini.

 

Rumusannya, kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun adalah digalakkan untuk divaksinasi bagi menentang virus COVID-19.

 

Namun, seandainya anak itu mempunyai keadaan kesihatan yang sedia ada atau mana-mana ibu bapa yang ragu-ragu, haruslah mendapatkan nasihat daripada pegawai perubatan mereka atau ahli paediatrik. – DagangNews.com