Usaha perkasa Bahasa Melayu mesti diiringi kekuatan ekonomi | DagangNews Skip to main content

Usaha perkasa Bahasa Melayu mesti diiringi kekuatan ekonomi

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

KESUNGGUHAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menegakkan kedaulatan Bahasa Malaysia sebagai agenda rasmi negara menerima pelbagai reaksi.

 

Tidak juga semestinya masyarakat Melayu semata-mata yang gembira atau bukan Melayu resah gelisah sebab sememangnya tidak fasih-fasih berbahasa walaupun dilahirkan di negara ini.

 

Ada juga orang Melayu sendiri yang menyanggah hasrat ini dengan mengatakan lebih baik mempelajari bahasa dunia iaitu Bahasa Inggeris kerana kita sudah selesa secara demikian.

 

Secara peribadinya, saya menyokong sepenuh hati langkah Perdana Menteri ini terutama memberi kuasa menerusi Akta Dewan Bahasa dan Pustaka untuk bertindak tegas kepada pihak-pihak yang lebih menyanjung Bahasa Inggeris, baik swasta apalagi kerajaan.

 

Tentunya seperti kata sesetengah orang, Putrajaya kena terlebih dahulu memberi contoh dengan menukar nama `Presint’ yang sememangnya sejak awal dibuka dahulu pada 1999, ia menjadi tanda tanya ramai. Tetapi itu zaman perdana menteri lain, kata orang lagi.

 

Mujurlah `presint’ tidak diguna secara meluas di seluruh negara (terima kasih majlis-majlis perbandaran atas ketegasan kalian!) sekali gus menjadikan penggunaan `presint’ khusus merujuk kepada Putrajaya semata-mata.

 

Rasional penggunaan `Presint’ ketika itu ialah sebagai cara menyerap perkataan `presint’ menjadi satu daripada perkataan di dalam perbendaharaan negara.


 

presint

 


Bolehkah diserap sedemikian?

Jawapannya adalah boleh!

 

Berdasarkan nota-nota kelas Bahasa Melayu Tinggi yang saya sertai, Bahasa Melayu mudah menerima bahasa asing disebabkan bahasa Melayu itu sendiri yang bersifat dinamik. Peminjaman ini secara tidak langsung telah memperkaya kosa kata bahasa melayu.

 

‘’Bahasa Melayu mula menerima pengaruh asing sejak zaman bahasa Melayu kuno dengan menerima pengaruh bahasa Sanskrit, diikuti bahasa Melayu klasik menerima bahasa Arab dan bahasa Melayu moden menerima bahasa Eropah’’.

 

Faktor-faktor bahasa Melayu meminjam kosa kata asing ialah:

a. Keperluan untuk menamakan sesuatu benda, konsep baru kerana tiada perkataan yang sesuai dalam bahasa Melayu:

Contoh: syurga, camca, mee, taubat.

b. Perkataan bahasa Melayu tidak menepati maksud bahasa asing

Contoh: doktor (tabib), polis (mata-mata), radio (tetuang udara)

c. Sikap mengagungkan bahasa asing sehingga perkataan bahasa Melayu dianggap lapuk dan ketinggalan zaman

d. Kekerapan penggunaan bahasa asing yang lebih tinggi berbanding penggunaan perkataan dalam bahasa Melayu kerana mempunyai maksud yang berbeza.

d. Untuk mengatasi masalah makna. Contoh perkataan riak tidak boleh digantikan dengan perkataan sombong dalam bahasa Melayu.

 

Ingat bila Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan perkataan `efisien’ dan bukan `cekap’ dalam ucapannya? Keputusan ketika itu ialah Tun sebagai Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk menjadikan `efisien’ diwartakan sebagai istilah sah bahasa Melayu.

 

Jadi sekarang bila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, apa masalahnya?

 

Ini adalah agenda nasional beliau sebagai Perdana Menteri dan bukankah tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Malaysia untuk mempromosikan penggunaan bahasa kebangsaan seluas mungkin di peringkat antarabangsa.

 

Sudut yang dijadikan fokus kritikan ialah institusi pendidikan di mana Malaysia meletakkan dirinya sebagai hab pendidikan dunia dengan bahasa penghantar Inggeris dan kini bakal diwajibkan Bahasa Melayu diajar kepada pelajar antarabangsa.

 

Kita tidak berhak memaksa orang lain menerima pakai bahasa ibunda kita tanpa kerelaan? Ini saya kurang faham. Ada pelajar kita belajar bidang perubatan di Rusia, apakah mereka tidak perlu mempelajari bahasa Rusia?

 

Cubalah lihat daripada sudut positif. Mewajibkan bahasa Melayu kepada pelajar asing tidak akan membuatkan mereka menjauhkan diri atau menamatkan pengajian. Ini kerana tarikan utama yang besar ialah pendidikan yang disediakan di Malaysia adalah bermutu tinggi dan pada kadar yang mampu bayar, lebih murah berbanding kos pengajian di Singapura atau negara lain.

 

Kesempatan mempelajari bahasa Melayu akan mendekatkan pelajar itu kepada budaya tempatan yang pastinya mereka akan bercerita lagi kepada orang lain mengenai keunikan belajar di Malaysia.


 

merrepak

 


Bahasa Melayu adalah sangat mudah dipelajari. Kenapa?

Bahasa Melayu tiada rujukan pasangan. Tiada him or her seperti bahasa Inggeris, Arab atau Mandarin. Bahasa Melayu hanya ada `dia’ atau `beliau’ atau kena rujuk secara tepat, wanita atau lelaki itu.

 

Kalau hendak tahu susah senang belajar bahasa Melayu, singgahlah di stesen minyak terdekat dan tegur sapalah pekerja Bangladesh di situ. Tanya dia berapa lama dia belajar. Dia tidak fasih, jauh sekali boleh menulis. Tetapi setakat bahasa pasar, dia boleh bercakap secara bersahaja.

 

Ini kerana bagi pekerja asing di Malaysia, tahu berbahasa Melayu adalah keperluan ekonomi dan kelangsungan hidup yang menjadi faktor pendorong utama.

 

Ada yang akan mencelah bahawa kalau benar mudah, mengapa pelajar Melayu sendiri susah hendak raih markah A dalam subjek Bahasa Melayu peperiksaan SPM?

 

Jawapan saya ialah sebab ia berbentuk peperiksaan. Saya sendiri pun kejang kaki bila disuruh menyediakan graf E-Pepet dan E-Taling sekarang. Jawapannya kena belajar dan hafal. Tak belajar, mendapatlah E sahaja.

 

Tetapi kenapa hendak ditanya dari sudut bangsa? Apa mat saleh semua lulus cemerlang peperiksaan Bahasa Inggeris di High School masing-masing?

 

Lingua franca Abad ke-15, 16

Ingatlah bahawa Bahasa Melayu merupakan lingua franca di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan ke-16 ketika Melaka berkembang pesat sebagai pusat perdagangan yang makmur antara tamadun timur dan barat.

 

Pada masa itu, perlu ditekankan bahawa kesan Suvarnabhumi (bermaksud tanah emas dalam bahasa Sanskrit) memainkan peranan penting dalam mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai lingua franca.

 

Pedagang dari seluruh dunia secara sukarela mengambil Bahasa Melayu dengan bangga walaupun ia bukan bahasa ibunda mereka atas satu sebab – semua orang mahu menguasai ekonomi antara satu sama lain.
 

 

merrepak

 


Jutawan China

Suka atau tidak, faktor penguasaan ekonomi ini menjelaskan mengapa orang di seluruh dunia tergesa-gesa mempelajari bahasa Mandarin - China berada di belakang AS sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia.

 

Pada masa yang sama, masuk akal mengapa orang kaya (China) tidak sabar-sabar menyekolahkan anak-anak mereka di UK atau AS. Ini berpunca daripada nilai yang mereka anggap dalam penguasaan bahasa Inggeris.

 

Dengan China sebagai masyarakat yang sangat "homogen dari segi etnik" dengan beratus-ratus dialek tetapi hanya satu penyatu dalam bahasa Mandarin, orang kaya China sanggup melabur dolar yang besar untuk menghantar waris mereka ke sekolah berasrama penuh berprestij di UK, AS dan Australia di usia muda dengan harapan utama bahawa anak-anak muda suatu hari nanti boleh menjadi "jambatan linguistik" untuk mengembangkan empayar perniagaan mereka melangkaui pantai China.

 

Kebanggaan Jepun terhadap Nihongo (bahasa Jepun) adalah mampan di peringkat dunia kerana yen hari ini merupakan mata wang ketiga paling banyak didagangkan dalam pasaran pertukaran asing selepas dolar AS dan euro. Jika ini tidak mencukupi, yen juga digunakan secara meluas sebagai mata wang rizab ketiga selepas dolar AS dan euro.

 

Semua tahu betapa orang Jepun bersungguh bertutur dalam bahasa ibunda mereka di peringkat rasmi di pentas antarabangsa dan juga di Malaysia - walaupun mereka boleh menguasai "Inggeris Amerika yang sempurna".

 

Selain itu, orang Jepun adalah unik kerana syarikat Jepun di Malaysia pun akan memastikan tetamu mereka yang bukan berbahasa Jepun sentiasa mendapat akses kepada perkhidmatan jurubahasa/penterjemah yang mencukupi.

 

Bahasa rasmi ASEAN

Matlamat Perdana Menteri Malaysia yang begitu berminat untuk memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat ASEAN hari ini dapat diperhatikan juga kepada faktor ASEAN.

 

Hari ini, hanya empat daripada 10 negara ASEAN menggunakan bahasa Inggeris dalam acara rasmi di peringkat antarabangsa manakala enam lagi menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri dalam urusan rasmi mereka dan perlu diterjemahkan.

 

Bahasa Melayu pula diguna oleh Malaysia, Brunei dan Indonesia. Kuat-kuat semua tu. Selain itu, terdapat orang Melayu di Selatan Thai, Selatan Kemboja dan Singapura. Selatan Filipina guna Bahasa Tausug atau Sulu. Bila mereka masuk Sabah, mereka bertutur Bahasa Melayu.

 

 

bahasa

 


 

Tetapi bila dianalisis secara mendalam, untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai lingua franca seperti di zaman Kesultanan Melaka abad ke-15 dan 16, kata kunci utama ialah `kekuatan ekonomi’.

 

Malaysia mesti pulih daripada impak pandemik COVID-19 ini, terutama daripada ekonomi untuk menstabilkan segala-galanya daripada segi inflasi harga barangan naik supaya rakyat boleh kembali bernafas dengan tenang seperti sebelum pandemik.

 

Apakah petanda pemulihan ekonomi yang diperlukan?

Paling mudah ialah nilai mata wang Ringgit Malaysia.

 

Seandainya nilai mata wang RM dapat diperteguhkan, bukan seperti sekarang RM4.20 bersamaan dengan AS$1.00 atau RM3.10 bersamaan S$1.00 atau RM1.00 bersamaan 79 Baht.

 

Secara peribadi saya rasa menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN akan menjadi lebih mudah dibentangkan bila kita memiliki kekuatan ekonomi seperti zaman Kesultanan Melaka dahulu kala.

 

Saya lebih suka kita fokus memperkasa dan mendaulatkan Bahasa Melayu di peringkat kebangsaan terlebih dahulu. Tetapi nak cuba ASEAN pun tidak salah. Kita sokong mana yang baik. – DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Don't Speak oleh No Doubt berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.