Usaha bangunkan format tempatan bernilai antarabangsa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 13 August 2021

USAHAKAN BANGUNKAN FORMAT TEMPATAN BERNILAI ANTARABANGSA

 

 

BEBERAPA hari lalu, saya menerima satu laporan 13 halaman yang dikeluarkan oleh pihak Korea Creative Content Agency (KOCCA).

 

Ia disediakan oleh syarikat konsultan media antarabangsa, K7 Media dan proses penghasilannya dibiayai oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan sebagai sebahagian laporan yang dikeluarkan secara bulanan dalam usaha meninjau dan memberikan gambaran landskap industri kandungan kreatif di negara terbabit.

 

Bagi edisi bulan Julai 2021, laporan ini meninjau salah satu trend yang sedang mendapat sambutan dalam industri penyiaran di Korea Selatan iaitu format program TV yang bersifat hibrid. Apa yang dimaksudkan sebagai `hybrid entertaintment format` ini adalah pendekatan menggabungkan beberapa bentuk format program TV ke dalam satu format tertentu.

 

Beberapa contoh yang diberikan dalam laporan tersebut mengenai program berformat hibrid yang berjaya dalam pasaran mereka adalah `The Masked Singer` yang formatnya dimiliki syarikat penyiar MBC dan `I Can See Your Voice` yang formatnya dimiliki CJ ENM.

 

Di Malaysia, beberapa penerbitan telah mula meneroka potensi ini. Antara contoh mudahnya adalah program ‘Ke Korea Ke Kita?’ yang pernah bersiaran di saluran TV9 suatu ketika dahulu yang mana ia menggabungkan format travelog dan pertandingan (game show).

 

Format hibrid ini adalah antara pendekatan yang boleh diteroka bagi penerbit kandungan tempatan untuk bersama dalam mengikut trend global, di samping berusaha memberikan kelainan dan kesegaran kepada kandungan tempatan untuk tontonan khalayak.

 

Namun, selain melihat potensi untuk mengikuti trend global dengan pembangunan format yang segar dan diterima penonton – satu aspek yang perlu penerbitan kandungan Malaysia untuk mula melihat secara serius adalah pengurusan dan pengkomersilan secara lebih serius.

 

Kita secara umumnya pada masa kini lebih memberikan tumpuan usaha pengantarabangsaan dalam konteks hasil penerbitan, namun masih terlalu kurang untuk memanfaatkan format sebagai satu produk dagangan bernilai dan berpotensi tinggi.

 

Ini merupakan sesuatu merugikan apabila potensi yang ditawarkan dalam perniagaan berteraskan harta intelek ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya bagi mereka yang mempunyai program-program yang telah terbukti berjaya dalam pasaran tempatan.

 

Dalam konteks format di Malaysia, sehingga kini kita masih sinonim sebagai negara pengguna, di mana terdapat banyak program terbitan tempatan yang merupakan penerbitan hak cipta format yang dibeli dari pelbagai negara – namun kita masih tidak mempunyai format tempatan yang berjaya di luar negara.

 

Antara program awal di Malaysia yang diterbitkan berasaskan format antarabangsa adalah Roda Impian (berasaskan format Wheel of Fortune yang berasal dari Amerika Syarikat) dan Akademi Fantasia (berasaskan format La Academia yang berasal dari Mexico), kedua-duanya terbitan ASTRO.

 

 

kreatif

 

 

Ketika menghadiri MIPCOM di Cannes, Perancis pada tahun 2019, saya berpeluang menyertai satu majlis yang menjadi sebahagian acara dalam pasar kandungan terbesar di dunia terbabit.

 

Ia adalah sebuah acara yang dihoskan oleh Hunan TV, iaitu saluran TV kedua paling banyak ditonton di China. Pada acara tersebut, Hunan TV menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat gergasi yang terkenal sebagai antara pengusaha format terbesar di dunia iaitu Endemol Shine Group, bagi bekerjasama dalam membangunkan format untuk pasaran global.

 

Sesuatu yang menarik perhatian saya tentang Hunan TV adalah tentang bagaimana mereka begitu memanfaatkan sepenuhnya potensi perniagaan berteraskan format sehingga mempunyai sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang khusus bagi membangunkan format untuk pasaran China dan antarabangsa.

 

Malah, Hunan TV juga merupakan antara penglibat aktif dalam acara MIPFormats iaitu acara pasar format yang menjadi acara poket kepada MIPTV anjuran Reed MIDEM (juga penganjur MIPCOM) yang berlangsung sekitar April setiap tahun di Cannes.

 

 

kreatif
MIPFormats iaitu acara pasar format yang menjadi acara poket kepada MIPTV anjuran Reed MIDEM (juga penganjur MIPCOM) yang berlangsung sekitar April setiap tahun di Cannes.

 

 

Bagi mencari faktor kejayaan sebuah format untuk diterima sebagai format yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi, kebiasaannya sesebuah format tersebut harus dibuktikan berjaya dalam sesebuah pasaran, tidak kira pasaran global mahupun pasaran tempatan sesebuah negara.

 

Kejayaan format tersebut dalam sesebuah pasaran merupakan faktor penting dan boleh dianggap sebagai penerbitan pilot sebelum diterima dan dijadikan rujukan bagi adaptasi format tersebut ke dalam versi di wilayah, negara atau bahasa masing-masing.

 

Dalam industri yang serba mungkin kini, perkembangan format boleh menjadi dalam pelbagai pendekatan. Sebahagian format berjayas dalam pasaran tempatan, sebelum diadaptasi dalam versi antarabangsa  manakala sebahagian lagi diterbitkan dalam dalam versi antarabangsa, sebelum diadaptasi dalam versi negara dan bahasa tertentu. Malah, sesetengah format mungkin tidak perlu diangkat dalam versi antarabangsa – cukup untuk berjaya di sesebuah negara sebelum diadaptasi oleh negara lain.

 

Malah, saya percaya ada format yang niche, dan boleh diteroka sebagai format yang sesuai untuk diadaptasi bukan lagi wilayah, negara mahupun bahasa, tetapi juga berasaskan etnik atau komuniti yang lebih kecil dan spesifik.

 

Hal ini merupakan antara usaha yang boleh dilihat sebagai salah satu fokus dalam perancangan pembangunan industri kandungan di Malaysia. Saya percaya syarikat seperti ASTRO dan Media Prima telah lama memulakan usaha ke arah tersebut, namun perlu untuk tidak hanya menjadikan ia agenda bagi gergasi media tetapi meramaikan penyertaan syarikat penerbitan kecil dan sederhana bagi membuka mata semua pemain industri tentang potensi perniagaan berasaskan format ini.

 

 

kreatif

 

 

Saya juga melihat bahawa usaha pembangunan format tempatan bernilai antarabangsa seharusnya bukan sahaja menjadi inisiatif oleh pihak swasta, tetapi juga malah boleh dijadikan agenda negara. Tentang bagaimana sebuah format yang membawa nilai dan elemen Malaysia, termasuk kebudayaannya, mampu menjadi duta kepada negara ke mata dunia.

 

Melihat dalam konteks itu, dapat dilihat kewajaran bahawa pihak kerajaan perlu turut memainkan peranan menjadi pemudahcara dan pendukung penting – dalam membantu para pembikin kandungan untuk melahirkan dan mengembangkan format yang mempunyai nilai tempatan tetapi memenuhi cita rasa antarabangsa.

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF

 

 

Portfolio Tags