UPM juara Pertandingan Debat Nuklear 2022, raih pendebat terbaik | DagangNews Skip to main content

UPM juara Pertandingan Debat Nuklear 2022, raih pendebat terbaik

Pasukan debat Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai johan Pertandingan Debat Nuklear 2022.

KUALA LUMPUR 1 Julai - Pasukan debat Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai johan Pertandingan Debat Nuklear 2022 serta turut meraih pendebat terbaik peringkat akhir pertandingan tersebut. 

 

Mereka mengalahkan enam pasukan pendebat dari Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara menerusi pertandingan yang berlangsung sejak 28 Jun 2022 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Pada pusingan akhir pertandingan tersebut, pasukan UPM telah bertemu dengan pasukan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan usul perdebatan ‘Bebas Karbon 2050: Sudah Tiba Masanya Malaysia Mengimplimentasikan Loji Jana Kuasa Nuklear’.

 

UPM yang dibarisi empat pendebat iaitu Bacelor Sains Statistik Dengan Pendidikan Fakulti Sains, Nur Ain Aqilah Rosli; Bacelor Sains Bioperubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Muhammad Hakim Nor Zamani; Bacelor Pendidikan Bimbingan Dan Kaunseling Fakulti Pengajian Pendidikan, Iskandar Zikry Zakaria dan pendebat simpanan, Bacelor Sains Fizik Dengan Pendidikan Fakulti Sains, Muhammad Alif Mohd Roaim membawa pulang hadiah piala pusingan, wang tunai RM3,000 dan sijil.

 

Naib johan, USIM membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan sijil.

 

Sementara itu, anugerah pendebat terbaik yang dirangkul Nur Ain Aqilah membawa pulang hadiah plak dan sijil kemenangan. 

 

Mengulas mengenai kemenangannya itu, dia berkata, kejayaannya itu menjadi titik permulaan yang lebih jauh buat dirinya dan juga Kelab Debat Bahasa Melayu UPM (KDBM Putra) untuk terus menempa nama dalam dunia pengucapan awam. 

 

 

upm
Nur Ain Aqilah Rosli

 

 

“Saya sangat bersyukur atas penerimaan anugerah ini setelah sekian lama saya berusaha untuk memantapkan gaya perdebatan. Selain itu, UPM juga sudah agak lama berehat menjuarai mana-mana pertandingan debat,” katanya.

 

 

upm

 

 

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), Raja Abdul Aziz Raja Adnan; Timbalan Ketua Pengarah AELB, Noraishah Pungut, dan Pengarah Bahagian Pengurusan Maklumat Agensi Nuklear Malaysia, Habibah Adnan. - DagangNews.com