Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera ditubuhkan di setiap kementerian dan agensi kerajaan - PM | DagangNews Skip to main content

Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera ditubuhkan di setiap kementerian dan agensi kerajaan - PM

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

PUTRAJAYA 18 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Ismail mengumumkan penubuhan Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) di setiap Kementerian dan Agensi Kerajaan bagi menyelaras semua inisiatif, dasar dan agenda Bumiputera seperti yang telah diputuskan di peringkat Majlis Kemakmuran Bumiputera (MBK).

 

Menurut beliau, penubuhan UPAB bertujuan bagi menambah baik tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan mandat dan fungsi berkaitan Bumiputera.

 

``TERAJU atau Unit Peneraju Agenda Bumiputera selaku sekretariat MKB turut membentangkan persiapan pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember ini di Kuala Lumpur.

 

‘’Berdasarkan prinsip kesaksamaan peluang (equitability of opportunities) dan kesaksamaan keberhasilan (equitability of outcomes) TPB2030 dibangunkan TERAJU ini berlandaskan intipati dari Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), didukung oleh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia.

 

‘’Mesyuarat turut bersetuju supaya fungsi dan peranan TERAJU diperkasa dalam memastikan agenda Bumiputera akan terus relevan dan kompetitif dengan perkembangan ekonomi semasa,’’ kata beliau.

 

Perdana Menteri berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat MKB menerusi sidang video semalam bagi membincangkan usaha memperkasa dan memperkukuh pembangunan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera.

 

Mesyuarat turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dato’ Dr. Abdul Latiff Ahmad dan disertai Menteri-Menteri Kabinet serta tokoh-tokoh perniagaan Bumiputera.

 

Perdana Menteri berkata, agenda utama mesyuarat pada kali ini adalah untuk memuktamadkan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang merupakan hala tuju baharu ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera bagi tempoh sedekad yang akan datang.

 

Turut dibincangkan ialah isu-isu berkenaan penglibatan Bumiputera dalam projek nasional berskala besar seperti 5G, Bank Digital, polisi perolehan oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta isu-isu berkaitan ekuiti Bumiputera yang masih rendah.

 

Selain itu, mesyuarat turut membincangkan kadar peratusan pemilikan aset oleh Bumiputera, khususnya dalam pemilikan perumahan dan premis komersial.

 

Melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kerajaan menetapkan untuk membina lebih 500,000 rumah mampu milik untuk golongan bersasar khususnya Bumiputera.

 

Justeru, Kerajaan akan memastikan rumah yang dibina bukan sekadar mampu milik tetapi lebih berkualiti dengan lokasi yang lebih strategik. – DagangNews.com