UniKL sekali lagi tersenarai antara universiti terbaik dunia  | DagangNews Skip to main content

UniKL sekali lagi tersenarai antara universiti terbaik dunia 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) terus mengorak langkah ke hadapan apabila berjaya tersenarai di dalam kelompok universiti terbaik dunia Times Higher Education (THE) untuk dua tahun berturut-turut. 

 

UniKL berada di kedudukan 1200+ antara 1,662 universiti di seluruh dunia yang disenaraikan, jelas universiti itu dalam satu kenyataan.

 

Selain UniKL, 17 buah universiti Malaysia yang lain termasuk lima buah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) iaitu Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) turut tersenarai. 

 

Menurut Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Datuk Dr Roziah Omar, institut berkenaan sedang berusaha untuk meningkatkan reputasinya di peringkat antarabangsa melalui kolaborasi dengan universiti dan organisasi ternama dunia dari dalam dan luar negara selain berusaha meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa. 

 

Dr. Roziah Omar
Roziah Omar

 

Di bawah pelan strategiknya, UniKL menyasarkan untuk berada di kedudukan 600 teratas dalam senarai universiti terbaik dunia menjelang tahun 2025. 

 

Senarai universiti terbaik dunia THE juga menyaksikan institusi pendidikan tinggi di Asia secara perlahan-lahan telah mengorak langkah untuk mengatasi universiti Barat melalui peningkatan di dalam kedudukan mereka di peringkat global. 

 

UNIKL
UniKL berjaya merangkul kedudukan di dalam senarai universiti terbaik dunia untuk dua tahun berturut-turut.

 

Bagi Ketua Sains Data di THE, David Watkins, universiti yang menerbitkan hasil penyelidikan sains perubatan berkaitan pandemik COVID-19 telah mencatatkan peningkatan ketara dalam kesan petikan (citation) mereka.

 

Sebagai rekod, UniKL merupakan sebuah universiti teknikal keusahawanan terbesar di Malaysia yang dikelolakan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). 

 

Penyenaraian ini dilihat sebagai sebuah pencapaian yang amat membanggakan memandangkan UniKL pada asalnya ditubuhkan daripada beberapa buah institut teknikal dan vokasional milik penuh MARA yang menumpukan kepada pelbagai bidang teknologi mengikut keperluan industri sebelum digabungkan dan dinaik taraf sebagai sebuah universiti pada tahun 2002. 

 

Selain daripada menjadi universiti termuda Malaysia di dalam senarai tersebut, UniKL juga telah membuktikan komitmennya terhadap kecemerlangan akademik dan penyelidikan di samping mengekalkan falsafah pendidikan TVET peringkat tinggi (Higher TVET) dan pembelajaran secara praktikal (hands-on). - DagangNews.com