UMS, Sukaseni tingkatkan kerjasama bidang seni, keusahawanan | DagangNews Skip to main content

UMS, Sukaseni tingkatkan kerjasama bidang seni, keusahawanan

Dr. Soon (lima dari kanan) dan Rafie (kanan) bertukar dokumen LoI yang telah ditandatangani sambil disaksikan Prof Madya Dr. Raman Noordin (empat dari kanan).

KOTA KINABALU 22 Mei - Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Surat Niat (LoI) dengan Persatuan Sukaseni Kuala Lumpur (Sukaseni) bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai industri seni dan kraf serta meningkatkan kemahiran dalam bidang keusahawanan.

 

Majlis menandatangani LoI itu disempurnakan Pengarah PKPKP UMS, Dr Soon Singh Bikar Singh dan Pengerusi Sukaseni, Rafie Syazwan Arpandi dengan disaksikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof Madya Dr. Raman Noordin.

 

Dr Soon berkata, LoI berkenaan adalah kesinambungan daripada hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua belah pihak melalui penglibatan bersama dalam beberapa program sebelum ini.

 

“Impak yang paling penting ialah LoI ini memberi peluang kepada pelajar UMS untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

 

“Misalnya pelajar di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) bukan sahaja kaya dengan pelbagai produk kesenian tetapi juga berbakat. Kita hendak perkembangkan bakat ini dan mereka menjadi seorang usahawan dalam bidang kesenian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, Rafie memaklumkan LoI itu ditandatangani sebagai salah satu usaha Sukaseni untuk membantu para belia khususnya para graduan dalam mendepani krisis pekerjaan pada era pasca pandemik COVID-19.

 

“Seperti yang kita sedia maklum,  para graduan pada ketika ini amat susah mencari pekerjaan selepas seluruh dunia termasuk di negara ini berdepan dengan COVID-19 selama dua tahun.

 

 

ums

 

 

ums

 

 

“Justeru, inisiatif kami untuk menandatangani LoI ini mungkin sedikit sebanyak membantu usahawan pelajar ini mengetengahkan produk mereka ke luar negeri,” katanya. - DagangNews.com