Tun Fatimah dijadikan filem | DagangNews.com Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 12 September 2022

LEGASI TUN FATIMAH, RATU MELAKA TERAKHIR, UNTUK TATAPAN GENERASI HARI INI

 

 

HARI INI,  Manuskrip Melayu boleh didapati di lebih 150 muzium dan perpustakaan di lebih 60 negara termasuk Malaysia, Indonesia, United Kingdom, Belanda, Rusia, Perancis dan banyak lagi.

 

Kekayaan Manuskrip Melayu ini boleh memberikan generasi muda satu wawasan dan keyakinan bahawa kita memiliki karya dan kesusasteraan yang baik, malah juga kekayaan sejarah, pemikiran kreatif dan juga sains.

 

Dalam usaha untuk memupuk generasi berkebolehan yang bersenjatakan kemahiran, adalah penting untuk kita mengenang dan melestarikan ilmu lama dan baru khazanah bangsa.

 

Tun Fatimah contohnya seorang watak sejarah begitu tersohor oleh kerana keberanian, ‘political finesse’ dan jati diri beliau sebagai tokoh penting dalam meneruskan politi dan keberadaan Melaka selepas pencerobohan Portugis pada tahun 1511.

 

 

tun fatimah

 

Sultan Mahmud Shah mengutamakan Tun Fatimah dalam segala hal dan waris Tun Fatimah terus menegakkan kerajaan baru di Semenanjung Tanah Melayu.

 

Ini dilihat terutamanya melalui penubuhan Kesultanan Johor di mana puteranya, Raja Ali Ibni Sultan Mahmud, yang dikenali sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah II (1528–1564) ditabalkan Sultan Johor pertama.

 

Pada tahun yang sama, anak tirinya, putera Onang Kinang bersama Sultan Mahmud, Sultan Muzaffar Syah dihantar ke Perak menjadi Sultan Perak pertama (1528-1549).

 

Pada tahun 2017, saya menulis novel KIRANA , Dreams After The Rose yang telah berjaya meraih beberapa anugerah antaranya Calistro Awards. Novel ini mengisahkan bagaimana Kirana, seorang pelukis muda tersohor dunia moden menemui Tun Fatimah dan kehidupan mereka saling berhubung kait.

 

Hasrat sebagai penulis tentulah sentiasa inginkan novel dan penceritaan saya diadaptasi ke pelbagai dunia kreatif seperti teater, seni visual, e-game dan juga film. Akhirnya impian ini menjadi kenyataan di mana karya saya terus diadaptasi ke pentas persembahan dan kini, animasi dan film digital.

 

KIRANA , Dreams After The Rose

 

Dengan sokongan Geran DC3+ daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), syarikat kami iaitu bzBee Consult Sdn Bhd, sebuah agensi komunikasi strategik bersepadu dan ‘content creation’, berhasrat membawa 'Tun Fatimah/The Rebel Queen' ke layar digital.

 

Filem seperti ini bakal menerajui adat, kesopanan dan nilai-nilai masa lampau yang kaya melalui kisah-kisah srikandi, wira, warisan dan sejarah Malaysia.

 

Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan bzBee, Prof Hj. Mohd Said Bani CM Din, “Malaysia mempunyai banyak kisah lagenda yang patut dibawa ke persada antarabangsa. Sudah tiba masanya untuk kita mempamerkan pelbagai kisah Hikayat kita kepada dunia.”

 

Said Bani menambah, “Tun Fatimah: The Rebel Queen’ adalah penceritaan penting untuk memberi kesedaran serta memelihara warisan Hikayat.

 

Diadaptasi dari novel ‘KIRANA - Dream After The Rose’ oleh Ketua Pegawai Operasi bzBee, Ninot Aziz, kami mengambil satu pendekatan berlainan dalam menceritakan kisah Tun Fatimah Ratu Melaka terakhir pada abad ke-16 dan Melaka hari ini. Matlamat utama adalah untuk menghasilkan filem blockbuster yang berlandaskan Melaka abad ke-16 dan Melaka hari ini.”

 

 

Mohd Said Bani CM Din
Mohd Said Bani CM Din

 

 

Tun Fatimah: The Rebel Queen’ benar-benar memperkasa seorang tokoh wanita dalam sejarah Negara kita yang begitu tabah, menonjolkan nilai, budaya dan warisan Melaka pada abad ke-16. Sebagai seorang pencerita, peluang untuk menerokai bidang digital dalam bentuk CGI merupakan pengalaman yang amat unik.

 

Hikayat, legenda dan cerita rakyat menjadi penyimpan khazanah pelbagai ilmu yang terdiri daripada tadbir urus, protokol, diplomasi, seni bina, pembinaan kapal, persenjataan dan tekstil kepada amalan perubatan, kesusasteraan, hiburan, muzik, tarian, kebijaksanaan dan pemikiran kreatif – bukti bahawa masyarakat lama kita mempunyai idea dan kreativiti yang berkonsepkan ilmiah yang tinggi.

 

Said Bani bersama Azlina Merican sebagai penerbit eksekutif dan juga saya sendiri telah menggarap idea ini selama lebih tiga tahun sebagai sebahagian daripada usaha, semangat dan kepercayaan bzBee terhadap kepentingan budaya dan warisan.

 

 

Azlina Merican
AZLINA MERICAN

 

 

Rancangan ini akhirnya tercapai dengan sokongan geran daripada MDEC. Filem pendek ini adalah hasil kerjasama bzBee bersama Nur Hussein dari Langit Terang Productions dan barisan mantap pasukan produksi tempatan.

 

Skrip filem pendek tersebut adalah hasil usaha sama Said Bani, penulis skrip, Nadia Khan  dan saya dalam memperhalusi keindahan Bahasa Melayu pada abad ke-16.

 

Diketuai oleh pengarah filem berpengalaman dan tersohor Bade Hj. Azmi, filem pendek ini mempunyai elemen keindahan tersendiri yang amat mengagumkan. Penggambaran dibuat di Melaka dan Studio Finas pada bulan Ogos dan September dalam semangat kebangsaan yang begitu berkobar.

 

Geran DC3+ yang dianugerahkan oleh MDEC menggalakkan penciptaan kandungan digital dan memainkan peranan penting dalam menyokong penggunaan CGI dalam penerbitan filem.

 

Artis digital Walid Muhamad dan artis 3D, Faizal Rahmat, bertanggungjawab untuk membina konsep seni filem ini. Penggunaan CGI untuk mencipta pengalaman yang mengasyikkan untuk penonton, membawa penonton kembali ke Melaka pada abad ke-16.

 

ninot

 

Pelakon Yna Rose Noah yang memegang watak utama sebagai Tun Fatimah dan Kirana baru-baru ini memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Antarabangsa Eropah Timur untuk filem 'Showtime 1958'.

 

Antara pelakon lain adalah Naim Shamsol sebagai Nadim, Niezam Zaidi sebagai Sultan Mahmud Shah dan Jimmy Leong sebagai Uncle Wong.

 

Reka muzik yang mengiringi filem ini juga diterajui penggiat kreatif tempatan yang memang terbaik.

 

Pemuzik dan pencipta lagu, Taja Mustapha, menata musik Tun Fatimah The Rebel Queen dan Teuku Umar Ilany Teuku Iskandar, pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta pengasas Kumpulan Gamelan Gangsapura mencipta Original Soundtrack yang sangat indah dan menyayat hataai berjodol Jiwa dan Raga.

 

tun fatimah

 

Sesungguhnya, jika Hikayat gagal dihayati, kisah-kisah dan ilmu yang tersemat akan hilang ditelan zaman.

 

Diharapkan penghasilan 'Tun Fatimah: The Rebel Queen' oleh bzBee Consult dengan sokongan MDEC akan menggalakkan penghayatan yang lebih mendalam terhadap Hikayat oleh masyarakat dengan menggunakan kandungan digital untuk mencipta dunia zaman dahulu kala. – DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA
Portfolio Tags