TNB rancang senaraikan unit jana tenaga  | DagangNews Skip to main content

TNB rancang senaraikan unit jana tenaga 

 

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Tenaga Nasional Bhd. merancang untuk menyenaraikan unit jana tenaga di Bursa Malaysia tahun hadapan susulan penyusunan semula korporat. 

Menurut Bloomberg yang memetik sumber, syarikat utiliti negara itu kini bekerjasama rapat dengan penasihat bagi pelan penstrukturan itu dan menyasarkan untuk memuktamadkan proses tersebut sekurang-kurangnya separuh pertama 2021. 

"Apabila ia dimuktamadkan, syarikat merancang untuk menyenaraikan perniagaan penjanaan, dengan pelabur akan diberi saham mengikut bahagian pegangan sedia ada masing-masing di dalam TNB," kata sumber tersebut. 

Bagaimanapun, pertimbangan masih di peringkat awal dan tiada jaminan urus niaga itu akan diteruskan. 

Wakil TNB berkata, syarikat tidak melakukan sebarang langkah untuk penyenaraian memandangkan fokus ketika ini tertumpu kepada kecekapan operasi unit penjanaan. 

Syarikat pelaburan negara, Khazanah Nasional Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan pemegang saham terbesar TNB.

Pada Februari lalu, TNB meraih kelulusan daripada pemegang saham dalam satu mesyuarat khas untuk menyusun semula penjanaan tenaga dan pengedaran tenaga kepada syarikat pegangan berasingan, menurut makluman di Bursa Malaysia. 

Langkah itu diambil sebagai persediaan menghadapi pembaharuan dalam industri bekalan tenaga di Malaysia, katanya dalam satu kenyataan. 

Jelas kenyataan itu lagi, unit penjanaan tenaga pada 2018 merekodkan pendapatan sebelum cukai dan faedah sebanyak RM1.6 bilion dan TNB menyasarkan untuk mencapai RM2.6 bilion menjelang 2025.  

Syarikat tenaga itu mungkin mengikut jejak langkah Sime Darby Bhd., yang menyenaraikan cabang hartanah dan perladangan pada 2017. 

Menurut laporan tahunan 2019, TNB yang mempunyai nilai pasaran kira-kira RM59.3 bilion, memiliki 47 loji di Semenanjung Malaysia dengan jumlah kapasiti penjanaan domestik sebanyak 10,617 megawatts. 

Malah, syarikat ini juga mempunyai kehadiran di luar negara termasuk United Kingdom, Kuwait, Turki, Arab Saudi, Pakistan, India dan Indonesia. - DagangNews.com