TM lancar Credence bagi perkasakan keupayaan digital industri perusahaan | DagangNews Skip to main content

TM lancar Credence bagi perkasakan keupayaan digital industri perusahaan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai - Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini melancarkan Credence, sebuah syarikat perkhidmatan awan dan digital dengan penumpuan kepada pengembangan keupayaan sektor perusahaan dan sektor awam dalam perjalanan transformasi digital mereka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, dengan kebanyakan syarikat kini menilai semula keupayaan dan tawaran mereka untuk memenuhi permintaan digital hari ini, TM bersedia untuk menjadi peneraju penyedia penyelesaian digital mereka, melalui ketersambungan dan infrastrukturnya yang mantap.

 

Beliau berkata, TM akan memperkasa organisasi-organisasi sektor swasta dan awam ini, untuk berubah menjadi lebih cekap dan fleksibel, sambil menawarkan pulangan pelaburan yang terbaik. 

 

"Bagi kami, sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk memanfaatkan kebolehan kami, memenuhi keperluan pasaran dan melancarkan sebuah syarikat khusus – Credence – yang memberi tumpuan kepada teknologi dan inovasi digital.


 
“TM akan menawarkan kelebihan yang berbeza dalam cara kami membawa penyelesaian dan perkhidmatan digital yang menyeluruh kepada pelanggan melalui Credence. Dengan memanfaatkan teknologi serta kepakaran tempatan dan antarabangsa, Credence akan menawarkan khidmat yang luas dan lebih pantas dengan memahami keperluan dan cabaran pelanggan tempatan.

 

“Pada masa hadapan, menerusi penerokaan kami ke pasaran perkhidmatan digital, kami menyasarkan untuk meningkatkan trajektori pertumbuhan TM dan mencipta nilai yang lebih kepada para pelanggan dan pihak-pihak berkepentingan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Credence diterajui Krish Datta, seorang peneraju teknologi berpengalaman yang menyertai TM pada akhir 2021 untuk membentuk cabang perkhidmatan digital terbaharu TM. 

 

 

tm
Imri Mokhtar (dua dari kiri) bersama Pengerusi TM, Tan Sri Mohammed Azlan Hashim dan Krish Datta (tiga dari kanan) bersama-sama rakan usahasama dari VMWare, AWS dan Huawei di majlis pelancaran Credence baru-baru ini. 

 

 

Dengan memanfaatkan sumber, infrastruktur dan hubungan kukuh TM dengan sektor perusahaan dan sektor awam, Krish dan pasukan pakarnya berupaya membantu untuk mempercepatkan perjalanan transformasi digital Malaysia.

 

"Kami menawarkan keupayaan untuk para organisasi memulakan perjalanan digital mereka dengan lebih yakin, tanpa kebimbangan dan gangguan kepada aktiviti mereka, di samping memilih penyelesaian teknologi terbaik yang sesuai dengan keperluan dan keutamaan mereka, bagi membolehkan mereka memberi tumpuan kepada perniagaan teras mereka," kata Krish.


 
Beliau menjelaskan bahawa Credence akan menyediakan keupayaan daripada infrastruktur teknologi sehinggalah ke maklumat perniagaan, khidmat nasihat awan (cloud advisory), migrasi lanskap IT, SaaS, perkhidmatan terurus serta analitik dan maklumat.

 

“Credence menyasarkan untuk memberikan pengalaman yang terbaik kepada para pelanggan kami. Kami adalah satu-satunya syarikat yang mampu menawarkan penyelesaian menyeluruh dari titik mula hinggalah ke titik akhir, merangkumi infrastruktur dan juga khidmat nasihat. 

 

"Pendekatan kami adalah untuk bertemu pelanggan di mana mereka berada, mengetahui matlamat kritikal misi mereka, dan bekerjasama dengan mereka mengikut keperluan dan keutamaan mereka," katanya. - DagangNews.com