Tiada amalan buruh paksa, kurangkan risiko sosial dihadapi V.S Industry | DagangNews Skip to main content

Tiada amalan buruh paksa, kurangkan risiko sosial dihadapi V.S Industry

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Julai - CGS-CIMB Research positif dengan perkembangan terkini V.S Industry Bhd. apabila audit yang dijalankan PwC Consulting Associates (M) Sdn Bhd tidak mengenal pasti amalan buruh paksa sistemik dalam kumpulan. 

 

Firma itu berkata, ini sepatutnya mengurangkan beberapa risiko sosial yang melanda syarikat tersebut berikutan dakwaan buruh paksa. 

 

"Kami percaya penemuan audit harus memberi jaminan kepada pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan V.S Industry, serta pelabur, mengenai pematuhan kumpulan terhadap amalan buruh yang beretika.

 

"Malah, kami juga positif dengan ketelusan audit yang dijalankan kumpulan kerana ini boleh mengurangkan kemungkinan risiko tadbir urus," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, kumpula berkata PwC Consulting telah menyelesaikan semakan bebas pihak ketiga terhadap amalan buruh syarikat dan tidak mengenal pasti bukti amalan buruh paksa sistemik yang dikenal pasti dalam
kumpulan itu.

 


Baca : Audit: Tiada buruh paksa sistemik di V.S. Industry

 

Selama empat bulan sejak Mac 2022, PwC Consulting mengadakan lawatan tapak di 19 kilang dan asrama 
serta mengadakan temu bual rasmi dan perbincangan kumpulan fokus (FGD) dengan kira-kira 7% tenaga kerja asing V.S Industry di Malaysia serta beberapa pekerja tempatan. Perbincangan ad hoc juga telah dilakukan.

 

Syarikat pengeluar perkhidmatan elektronik itu berkata, kajian semula bebas itu dilakukan berdasarkan 11 petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai buruh paksa dan skop diperluaskan kepada seluruh tenaga kerja operasinya di Malaysia yang terdiri daripada pekerja tempatan dan asing, serta pekerja yang diambil melalui Program Penentukuran Semula.

 

Susulan perkembangan positif itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap V.S Industry dengan harga sasaran pada RM1.21. 

 

Namun, katanya, risiko penarafan semula bergantung kepada permintaan akhir bagi produknya yang lebih rendah daripada jangkaan. 

 

"Kami juga menyukai V.S Industry kerana pelanggannya yang pelbagai dan sebagai penerima manfaat utama pembuatan lencongan daripada pengilang peralatan asal (OEM)/pemilik jenama," tambahnya.

Setakat 12.23 tengah hari ini, harga sahamnya tidak berubah pada 97 sen sesaham. -DagangNews.com