TH peruntuk RM1.6 juta bantu mangsa banjir seluruh negara | DagangNews Skip to main content

TH peruntuk RM1.6 juta bantu mangsa banjir seluruh negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Dis - Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan sejumlah RM1.6 juta untuk bantuan bencana banjir di seluruh negara.

 

Bantuan tersebut berupa kewangan, makanan serta khidmat pembersihan secara sukarela kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana banjir dan ia akan diagihkan secara langsung atau melalui rakan strategik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

TH juga telah melancarkan kempen derma dalaman dan menggerakkan sukarelawan untuk membantu kakitangan yang terjejas di Selangor, Pahang dan Melaka.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, aspek kebajikan kakitangan dan keluarga menjadi keutamaan agensi itu.

 

“Lebih 280 kakitangan di seluruh Kumpulan Tabung Haji sedang menerima bantuan segera. Pada masa sama, kami juga sedang melakukan sebaik mungkin untuk membantu rakyat Malaysia secara langsung atau menerusi rakan strategik dan NGO,” katanya.

 

Selain itu, TH turut berganding bahu dengan bekerjasama bersama agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui kumpulan sukarelawan Skuad Musa'adah dengan menyumbang pelbagai bentuk bantuan seperti keperluan asas, bekalan makanan dan penginapan sementara.

 

TH

 

Kumpulan Tabung Haji yang terdiri daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia), TH Properties Sdn. Bhd., TH Hotel &Residence (THHR), TH Travel & Services (THTS), Theta EDGE Berhad (Theta) dan TH Plantations Berhad turut menyalurkan bantuan yang diperlukan oleh para kakitangan, pelanggan dan orang ramai yang terjejas.

 

TH Properties mengambil inisiatif menyediakan bantuan kewangan untuk setiap kakitangan yang terjejas manakala THHR menyediakan 12 bilik hotel beserta makanan bagi menempatkan kakitangan dan ahli keluarga mangsa banjir.

 

rh

 

THTS pula menawarkan bantuan kewangan dan khidmat pembersihan di rumah kakitangan sementara Theta menyumbang bantuan kewangan selain menggerakkan kakitangannya sebagai sukarelawan.

 

BIMB memperuntukkan RM420,000 sebagai sebahagian usaha bantuan banjir mereka dan telah mengagihkan bantuan segera ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang, Hulu Langat selain bantuan sukarelawan. 

 

TH

 

Syarikat itu juga melancarkan Bantuan Prihatin Banjir yang bertujuan membantu individu dan rakan perniagaan sedia ada dengan kemudahan pembayaran balik pembiayaan sekiranya mereka terkesan akibat banjir. 

 

Sementara itu, Hotel Movenpick dengan kerjasama Pusat Konvensyen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur telah membantu seramai 200 mangsa banjir dengan menyediakan makan tengah hari dan malam selama dua hari.

 

TH

 

Dalam pada itu, Takaful Malaysia menawarkan perkhidmatan tunda percuma kepada para pelanggan yang terjejas akibat banjir, dan sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk mempercepatkan proses tuntutan pelanggan yang terjejas banjir dengan perlindungan Bahaya Khas.

 

Mereka juga telah mengetepikan sementara tuntutan laporan polis sebagai keperluan proses dan ia berkuatkuasa serta merta sehingga diberitahu kelak. - DagangNews.com