TFX Islamic, platform fintech patuh syariah pertama serantau | DagangNews Skip to main content

TFX Islamic, platform fintech patuh syariah pertama serantau

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, landskap pembiayaan perdagangan bekalan menunjukkan transformasi besar dengan syarikat-syarikat berusaha untuk menambah baik rantaian bekalan mereka secara signifikan.

Menyedari akan keperluan berkenaan, julung kalinya syarikat fintech Islam, TFX Islamic Sdn. Bhd. (TFX Islamic) melancarkan platform kewangan rantaian bekalan digital dan rentas sempadan yang patuh syariah pertama di pasaran tempatan dan serantau iaitu TFX Islamic. 

Menerusi kaedah berkenaan, syarikat-syarikat boleh menjimatkan sehingga jutaan wang ringgit menerusi penjimatan kos kewangan berkaitan yang memanfaatkan arbitraj kos pembiayaan antara pembeli dan penjual untuk mengoptimumkan keperluan modal kerja mereka.

Platform TFX Islamic menyediakan proses transaksi lancar, analisis data dan pendekatan baharu untuk mengurangkan risiko serta penilaian kredit dengan kelajuan dan kecekapan selain ketelusan sebagai norma baharu untuk pembiayaan rantaian bekalan. 

Ketua Pegawai Eksekutif TFX Islamic, Norita Ja’afar (gambar atas) berkata, platform yang diperkenalkan syarikatnya menghubungkan rakan kongsi di samping mewujudkan sistem pengurusan vendor, menghubungkan pembeli, penjual dan institusi kewangan. 

“Kami melancarkan platform ini tepat pada waktunya. Pengoptimuman tunai dan modal bekerja merupakan asas utama bagi mana-mana syarikat. Setelah terjejas akibat perintah berkurung, keadaan ekonomi sudah tentu terkesan pada masa akan datang.

“Kami berhasrat untuk membantu perniagaan perusahaan kecil dan sederhana yang berpotensi untuk mempermudah operasi kewangan dan memproses kesulitan untuk bergerak daripada kedudukan modal bekerja sekali gus membawa perniagaan mereka ke tahap seterusnya,” kata Norita dalam satu kenyataan hari ini.

Apabila berlakunya gangguan mendadak dalam kesukaran ekonomi semasa, risiko bekalan kewangan rantaian telah meningkat dengan ketara.

Penurunan penilaian terhadap aktiviti ekonomi telah menyebabkan kelayakan kredit pembeli merosot dengan kontrak insurans kredit serta bekalan mudah tunai merudum memandangkan sistem kewangan telah meruncing. 

Tanpa sokongan kewangan yang berkesan, pembekal dengan modal kerja sedikit akan mula perlahankan kitaran perniagaan mereka seterusnya menangguhkan pemulihan ekonomi daripada krisis semasa.

“Di TFX Islamic, kami komited untuk menjadi kunci utama perolehan keuntungan buat rakyat ketika waktu tidak menentu ini,” tambah Norita. 

Mula diasaskan pada tahun 2019, TFX Islamic merupakan anak syarikat Seabridge TFX Singapura. - DagangNews.com