Terbitan saham bonus Thong Guan dijangka tingkatkan kecairan kaunter urus niaga | DagangNews Skip to main content

Terbitan saham bonus Thong Guan dijangka tingkatkan kecairan kaunter urus niaga

Thong Guan Industries Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Terbitan saham bonus '1-for-1' syarikat  pengeluar produk pembungkusan Thong Guan Industries Berhad (Thong Guan) pada hari ini dijangka akan meningkatkan kecairan kaunter urus niaga.

CGS-CIMB Research berkata, pihaknya turut menilai perkara tersebut berdasarkan kepada gandaan asas saham kumpulan berkenaan.

"Kami yakin kerana penggandaan asas saham kumpulan menjadi 382.8 juta secara teorinya dapat membantu meningkatkan kecairan perdagangan Thong Guan.

"Kami merasakan bahawa ia juga tepat masa masanya untuk terbitan bonus memandangkan kaunter mengalami kenaikan akhir-akhir ini," kata CGS-CIMB Research.

Hingga tahun ini (YTD), saham syarikat berkenaan meningkat 92.3% berbanding 40.5% pada tahun lalu dalam keuntungan bersih pada separuh pertama 2020.

CGS-CIMB Research turut membuat ramalan harga saham yang lebih tinggi bagi tahun kewangan 2020 hingga 2022 dengan mengambil kira pertumbuhan dan keuntungan bersih 4% hingga 10% pada tahun lalu untuk ditingkatkan sebanyak 7.2% hingga 30.5%.

Jangkaan itu dinilai berikutan permintaan yang lebih tinggi untuk produk filem regangan di Eropah dan tambahan kapasiti masuk.

Pada akhir Jun 2020, syarikat itu mengekalkan kedudukan tunai bersih selepas menolak jumlah pinjaman RM149 juta daripada RM244 baki tunai.

Tunai bersih untuk tempoh berkenaan meningkat 102.6% daripada RM46.9 juta pada akhir Jun 2018.

CGS-CIMB Research membuat pelarasan harga sasaran sesaham (TP) syarikat Thong Guan berjumlah RM3.61. - DagangNews.com